suria

Bekas Pemain Pertahanan Nigeria Sertai Selangor

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan Nigeria, Ugo Ukah adalah nama tunggal yang didaftarkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi pendaftaran kedua pemain yang berakhir pada Jumaat.

Ukah, 32, yang bermain di posisi pertahanan diambil bagi menggantikan pemain import dari Australia, Robert Cornthwaite yang digugurkan kerana kecederaan selain gagal mempamerkan aksi konsisten.

Pemain dengan ketinggian 1.8 meter yang dilahir dan dibesarkan di Parma, Itali itu pernah beraksi untuk kelab Inggeris, Queens Park Rangers untuk musim 2005-2006.

Selain Ukah, Selangor turut mempunyai tiga pemain import lain iaitu Mauro Olivi dari Argentina, Andik Vermansah (Indonesia) selain penyerang import Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari turut berkata usaha FAS untuk mendapatkan khidmat bekas pemainnya Mohd Shazlan Alias bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, gagal selepas ditolak Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

Jendela perpindahan pemain untuk pendaftaran kedua bermula pada 20 Jun lepas.

"Walaupun ada peluang kedua untuk rundingan, FAS tidak dapat berbuat demikian kerana pasukan Negeri Sembilan berada di luar kawasan untuk perlawanan Liga Perdana," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

"FAS tidak mahu mengambil risiko menandatangani pemain tanpa status kecergasan dan laporan perubatan yang lengkap serta mengikut prosedur, akibat kekangan masa," jelas Amirudin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor.

Pada masa sama, beliau yakin pemain senior seperti Mohd Razman Roslan dan Bunyamin Umar serta dua pemain daripada skuad Piala Presiden Selangor, A.Namathevan dan K. Kannan mampu mengisi kekosongan pertahanan kanan yang ditinggalkan Mohd Azrif Nasrulhaq yang menyertai Johor Darul Ta'zim. -Bernama

Selangor, Ugo Ukah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain