suria

Juventus Tawar Kontrak Baharu Kepada Pogba

Paul Pogba.

JUVENTUS menawarkan Paul Pogba kontrak baharu dalam usaha menghalang pemain itu daripada menyertai Manchester United, menurut ejennya Mino Raiola.

Pemain tengah itu yang menjadi buruan United kini sedang bercuti selepas Perancis tewas kepada Portugal dalam aksi final Euro 2016, awal pagi Isnin.

Difahamkan kontrak baharu itu yang akan dikemukakan Juventus membabitkan kenaikan gaji sekitar 130,000 pound seminggu.

Raiola mendakwa dia tidak bercakap dengan Pogba mengenai potensi untuk berhijrah dari Turin semasa kejohanan Euro 2016.

Namun kedua-duanya dijangka membincangkan pilihan mereka.

Jose Mourinho begitu berminat untuk membawa masuk Pogba ke Old Trafford sekali gus menjadikannya pemain keempat dibawa masuk dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Presiden Florentino Perez dilihat tenang mengenai prospek membelanjakan lebih 100 juta pound untuk Pogba.

Raiola bagaimanapun menikmati hubungan baiknya dengan United pada musim panas ini susulan tawaran terhadap dua kliennya, Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan.

Ejen dari Itali itu mendedahkan Pogba mungkin kekal bersama Juventus.

"Terdapat banyak 'cakap-cakap' mengenai masa depan Pogba tetapi beliau mungkin tidak akan meninggalkan Juventus.

"Beliau tidak tergesa-gesa untuk pergi dan Juventus tidak mahu melepaskannya. Mereka mahu memperbaharui kontraknya," kata Raiola.








Artikel Lain