suria

Chelsea Perkenal Jersi 'Away' Dan Kit Ketiga Musim Baharu

CHELSEA memperkenalkan jersi terbaharu untuk digunakan di tempat lawan (away) dan kit ketiga kelab menjelang musim 2016/17 Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak lama lagi.

Penaja pakaian rasmi kelab, adidas tampil dengan rekaan yang berlainan daripada sebelum ini termasuk pilihan fabrik dengan warna kuning berkilat di bahagian leher dan lengan bersama corak belang melintang.

Kelab itu memperkenalkan kit terbaharu di laman rasmi mereka dan dianggap sebagai 'rekaan yang lebih terang dengan gabungan fabrik jalur berwarna kelabu dan hitam serta warna kuning neon. Manakala di bahagian bahu pula tiga garisan yang sememangnya menjadi lambang kemegahan jenama terkenal pakaian sukan itu.

The Blues juga turut melancarkan jersi ketiga musim depan dengan gaya yang lebih ringkas  bewarna putih dan biru gelap di bahagian leher dan lengan.




Harga bagi jersi replika di atas talian bernilai 55 pound bersama seluar pendek 30 pound bagi dewasa dan 25 pound untuk kanak-kanak berserta stoking berharga 13 pound.

Ini bermakna  jersi replika lengkap untuk penyokong dewasa berharga 98 pound (RM507).

Sementara itu, musim 2016-17 merupakan tajaan terakhir adidas bersama Chelsea yang mana kelab itu bakal menerima tajaan dari pesaing utama pakaian sukan, Nike bernilai 60 juta pound setahun sekaligus menjadikan tajaan kedua terbesar dalam aksi EPL.

Pengeluar pakaian sukan dari Amerika Syarikat itu mengikat kontrak dua kali ganda daripada adidas yang bernilai hanya 30 juta pound setahun.

Bagaimanapun, selepas kit terbaharu ini diperkenalkan, penyokong-penyokong setia kelab tidak begitu teruja memandangkan ia kelihatan seperti jersi murahan.
Chelsea, jersi away, kit ketiga, Adidas

Artikel Lain