suria

Kemenangan Berganda Mengagumkan - Serena

SERENA Williams meneruskan kecemerlangan pada kejohanan Wimbledon apabila membantu kakaknya, Venus memenangi acara beregu wanita dengan menundukkan gandingan Yaroslava Shvedova dan Timea Babos 6-3 6-4, awal pagi Ahad.

Kemenangan kedua buat Serena itu diperolehi hanya sejam selepas dia menewaskan pemain Jerman Angelique Kerber dalam acara perseorangan wanita.

Serena menang 7-5, 6-3 sekali gus menyamai rekod Steffi Graf apabila memenangi sebanyak 22 gelaran Grand Slam sepanjang kariernya setakat ini.

Ia juga merupakan kejayaan keenam bersama Venus di All England Club itu.

"Ia sukar dipercayai. Ia satu pencapaian walaupun ini diluar jangkaan saya. Sungguh mengagumkan," kata Serena.

Bagi Venus ia ibarat hadiah saguhati selepas tewas kepada Kerber di pusingan separuh akhir dalam acara perseorangan wanita sekali gus menafikan kemaraan ke final grand slam buat pertama kalinya sejak tewas kepada Serena di Wimbledon pada 2009.

"Ia amat istimewa, satu penghormatan. Apabila anda melalui undian beregu, anda impikan untuk menang. Kemudian kami menyertai acara perseorangan, kami juga impikan kemenangan.

"Untuk melihat kami adik-beradik beraksi pada 2016, ia satu lagi impian menjadi kenyataan," katanya.

Serena dan Venus yang tidak bergandingan sejak dua tahun lalu memenangi 14 kejuaraan grand slam bersama menyamai rekod gandingan Gigi Fernandez dan Natasha Zvereva yang menduduki tempat kedua senarai pasangan beregu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain