suria

Dua Pemain Import Baharu Perkuat Pulau Pinang

Seok-Min Jeong.

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan diperkuat dua pemain import baharu bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FAP, Bojan Hodak mengesahkan pemain Korea Selatan, Seok-Min Jeong akan menyertai The Panther sejurus selepas urusan pemeriksaan kesihatan pada Isnin.

Hodak berkata pemain tengah berusia 28 tahun itu akan menggantikan ketiadaan Brent Griffiths yang ditamatkan kontraknya dan dibenarkan pulang ke Australia.

"Buat masa ini, saya boleh sahkan dua pemain akan menyertai FAP tetapi hanya seorang pemain dari Korea Selatan hampir pasti menyertai FAP," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Jelas bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan itu Seok dari Jeonnam Dragons FC kini sudah berada di George Town dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan pada Isnin.

"Seok akan menyertai pasukan selepas selesai urusan formaliti," katanya.

Ranti Martins.

Sementara itu, sumber dalaman FAP berkata pasukan itu dalam proses untuk memuktamadkan proses pengambilan seorang lagi pemain import dari Nigeria, Ranti Martins.

"Buat masa ini proses untuk mendapatkan Martins sedang diusahakan. Kita akan maklumkan perkembangan terkini mengenainya," kata sumber itu.

Martins yang sedang menjalani proses ujian bersama FAP, merupakan penjaring gol terbanyak Liga India dan kontraknya bersama East Bengal tamat Mei lalu.

Terdahulu, FAP mengumumkan Griffiths sebagai pemain import pertama yang memohon untuk dilepaskan bagi beliau meneruskan kariernya dalam Liga Australia pada masa akan datang.

Susulan permohonan itu, FAP mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak pemain berusia 26 tahun itu pada Sabtu.




Seok-Min Jeong, FAP, Bojan Hodak

Artikel Lain