suria

Pulau Pinang Bakal Dapat Pemain Import Baharu

Nazir Ariff Mushir Ariff.

GEORGE TOWN: Pasukan Harimau Kumbang bakal mendapat pemain import baharu untuk memperkukuhkan kedudukan pasukan itu yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata persatuan sedang mengintai dua pemain Korea Selatan untuk mengisi tempat sebagai penyerang atau pemain pertahanan tengah.

"Kami akan mengambil seorang sahaja dan kini dalam proses untuk berunding sebelum memuktamadkan perjanjian," katanya.

Nazir juga mengesahkan bahawa kelab itu sedang dalam proses untuk mengambil Rantis Martins dari Nigeria yang merupakan penjaring terbanyak Liga India sebanyak lima kali.

Sepanjang kerjayanya di India sejak 2004, beliau menjaringkan 214 gol dan pencapaian itu berjaya menambat hati Ketua Pengarah Urusan (CEO) FAP Bojan Hodak.

Nazir juga menolak spekulasi bahawa separuh daripada pasukan Pulau Pinang akan dirombak sebelum Liga Super bermula.

"Tidak sama sekali. Kami sedang berusaha mengukuhkan pasukan dan untuk waktu sekarang, kami hanya akan melakukan rombakan kecil dan perubahan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan pasukan," katanya.

Bagaimanapun, Nazir tidak menolak kemungkinan akan ada pemain yang bakal disingkir daripada pasukan Harimau Kumbang.

"Kami akan adakan pengumuman rasmi selepas Hari Raya," katanya.

Pulau Pinang akan mengadakan perlawanan persahabatan berdepan Perlis Ahad ini di Stadium Bandaraya, untuk mengukuhkan rentak permainan pasukan itu sebelum bertemu T-Team pada 16 Julai dalam kempen Liga Super. - BERNAMA

pemain import, Pulau Pinang

Artikel Lain