suria

Kesilapan Teknikal FCF Punca Fifa Tidak Iktiraf Aksi Persahabatan Malaysia-New Caledonia

Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR: Kesilapan teknikal Persekutuan Bola Sepak New Caledonia (FCF) menjadi punca aksi persahabatan berstatus 'A' antara Malaysia dan New Caledonia di tempat lawan, bulan lepas, ditarik balik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan, memaklumkan FCF menyenaraikan pengadil daripada senarai FIFA untuk mengadili perlawanan itu, namun mengambil dua pembantu pengadil yang bukan daripada senarai FIFA untuk musim 2016.

Artikel 10.1 dalam Peraturan Perlawanan Antarabangsa FIFA menyatakan, tuan rumah perlu memastikan pengadil dan pembantu pengadil untuk perlawanan berstatus 'A' mestilah dalam kalangan mereka yang berada dalam senarai terkini FIFA.

"Itu menyebabkan keputusan perlawanan berkenaan yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 tidak dipaparkan di laman web FIFA, sekali gus ia tidak dikira untuk kiraan mata bagi ranking FIFA yang kemas kini berikutnya pada 14 Julai depan.

"Jelas, apa yang berlaku ini bukan kesilapan FAM kerana pihak persatuan telahpun mengikut segala prosedur ditetapkan FIFA dalam memohon untuk perlawanan  berstatus 'A' ini," kata Hamidin.

Beliau berkata FAM akan membuat rayuan kepada FIFA supaya perlawanan itu  diiktiraf semula sebagai perlawanan berstatus 'A' dengan menyertakan dokumen sokongan bahawa kesilapan teknikal berkenaan berpunca daripada FCF.

"Pihak persatuan akan lebih tegas dan mengambil serius mengenai perkara ini supaya tidak terus menjadi mangsa kecuaian dan kelalaian pihak tuan rumah dalam soal teknikal jika beraksi perlawanan antarabangsa di tempat lawan pada masa akan datang," katanya.

Untuk rekod, Malaysia mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan pada Jelajah Oceania, bulan lepas.

Skuad Harimau Malaysia yang berada pada ranking ke-173 dunia, diaibkan 0-2 kepada pasukan ranking ke-193 dunia, Papua New Guinea pada aksi sulung Jelajah Oceania di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, 17 Jun lepas.

Mereka, bagaimanapun bangkit mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan ranking ke-183 dunia, New Caledonia di Stadium Numa-Daly Magenta, Noumea, New Caledonia pada 22 Jun, sebelum seri 1-1 menentang pasukan ranking ke-186 dunia, Fiji dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji pada 26 Jun. - BERNAMA

kesilapan teknikal, FAM, Fifa, fcf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain