suria

Danny, Kelly Ke Olimpik Secara Merit

Danny Chia

KUALA LUMPUR: Dua pemain golf profesional negara, Danny Chia dan Kelly Tan bakal menyertai  26 atlet yang sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini secara merit.

Menurut Pengurus Pasukan Golf Olimpik Vincent Tan, kedua-dua pemain itu sudah melayakkan diri secara tidak rasmi pada temasya berprestij dunia berkenaan selepas menduduki tangga 60 teratas dalam ranking Persekutuan Golf Olimpik Antarabangsa.

"Danny dan Kelly sudah sah ke Rio tapi senarai muktamad hanya akan diketahui pada 11 Julai ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan Bata Malaysia dan dua lagi syarikat swasta, Entogenex Industries Sdn Bhd dan Pax Flora Sdn Bhd kepada kontinjen negara yang berentap pada Sukan Olimpik Rio, Ogos ini di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, Khamis.

Berdasarkan ranking semasa setakat 27 Jun lalu, Danny menduduki tempat ke-48 manakala Kelly di tempat ke-40 bagi kategori wanita.

Jelas Vincent lagi, selain Danny dan Kelly, dua lagi pemain golf negara, Gavin Kyle Green dan Michelle Koh masih perlu mengharungi beberapa kejohanan lagi untuk menempah slot ke kejohanan utama itu."

Kelly Tan

Gavin berjaya memperbaiki kedudukannya dari ranking ke-59 kepada 57. 

Jika dia beraksi dengan cemerlang pada Kejohanan Kejuaraan Pemain Yeangder, 3 Julai ini, dia akan mengesahkan slot pada Olimpik Rio," katanya.

Beliau berkata nasib Michelle untuk melayakkan diri lebih cerah sekiranya pemain itu terus mengekalkan kedudukannya dalam 60 kelompok pemain terbaik.

"Peluang Michelle untuk ke Olimpik sudah 95 peratus. Apa-apapun kita kena tunggu senarai muktamad 60 pemain yang layak dikeluarkan secara rasminya pada 11 Julai ini," katanya.

Sebelum itu, MOM menerima tajaan sepasang kasut kulit dan kasut sukan Power daripada Bata Malaysia yang direka khas bagi melengkapkan pakaian seragam atlet ke Sukan Olimpik Rio yang akan berlangsung pada 5 hingga 21 Ogos depan. 

Bata Malaysia merupakan penaja kasut sukan rasmi bagi kontinjen Malaysia yang bertanding di temasya sukan besar sejak tahun 2001 lagi.

Setakat ini, 26 atlet negara dari sukan seperti memanah, terjun, berbasikal, badminton, angkat berat, pelayaran dan menembak sudah mengesahkan nama mereka dalam kontinjen negara ke Rio. 

"Kami menjangkakan enam lagi atlet, mungkin empat dari sukan golf dan satu daripada olahraga ataupun renang turut melayakkan diri," kata Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Sementara itu, kontinjen negara turut menerima barangan pencegah gigitan nyamuk dari dua lagi syarikat swasta, Entogenex Industries Sdn Bhd dan Pax Flora Sdn Bhd susulan penularan virus Zika di Brazil.

"Penajaan ini memberi keyakinan kepada atlet untuk mengelak gigitan nyamuk. Ia satu perlindungan yang bagus untuk semua atlet. Terima kasih kepada dua syarikat ini yang peka dengan tahap kesihatan semua atlet," katanya.

Brazil diancam penularan wabak virus Zika yang dibawa oleh nyamuk Aedes.

Danny Chia, Kelly Tan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain