suria

Malaysia Tidak Bawa Polis Iringi Kontinjen Ke Rio - Khairy

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan membawa pegawai polis untuk mengiringi kontinjen negara ke temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pihak kementerian akan mendapatkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung keadaan keselamatan di Rio de Janeiro sebelum kontinjen negara berlepas ke sana.

"Saya akan minta nasihat daripada kedutaan kita di Brazilia berkenaan keselamatan di sana," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media sukan di sini.

Dalam pada itu, Khairy berkata setakat ini tidak ada apa-apa perkembangan untuk Malaysia tidak menghantar kontinjen negara ke Brazil bagi menyertai temasya Sukan Olimpik itu nanti.

"Apa-apa perkembangan terbaru, saya akan maklumkan kepada pihak media,"katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini bercadang menghantar pegawai PDRM ke Rio bagi meningkatkan kawalan keselamatan terhadap kontinjen negara. 

Ia susulan peningkatan kes jenayah membabitkan atlet dan pegawai negara lain ketika berlatih di Rio.

Setakat ini, atlet Australia dan Sepanyol menjadi mangsa samun ketikaberlatih di Rio. -Bernama

Khairy Jamaluddin

Artikel Lain