suria

Kedah Lupakan Khidmat Bruno Lopes

Bruno Lopes tidak lagi bersama Kedah.

PENYERANG kelahiran Brazil, Bruno Lopes tidak lagi menjadi pilihan Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) selepas dia didakwa enggan menyertai sesi latihan dan perlawanan persahabatan menentang  Pulau Pinang di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam.

Berikutan itu juga, KFA dilapor mengambil pendekatan menggugurkan namanya sebagai pemain pilihan yang akan menyertai Kedah pada jendela perpindahan pemain Jun ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, KFA terpaksa melupakan khidmat Lopes selepas pemain itu enggan menyertai sesi latihan serta perlawanan ujian selagi tidak diberi kontrak untuk bersama Kedah.

"Kami tidak ada banyak pilihan kecuali melupakan khidmat Lopes sebagai pemain yang sedang diuji kerana dia tidak mahu turun dalam perlawanan ujian selagi tidak menandatangani kontrak sebagai pemain tetap.

"Ini adalah pilihannya dan kami tidak ada banyak pilihan kecuali menyingkirkan namanya dari barisan penyerang yang bakal beraksi bersama Kedah.

"Kita perlu membuat keputusan tegas kerana apa yang lebih penting ialah dapat menyelesaikan masalah penyudah dan terus memburu kejayaan dalam saingan Liga Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, penyokong setia pasukan hijau kuning tidak perlu khuatir dengan ketiadaan Lopes yang menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan persahabatan kerana terdapat pemain baru akan diuji.

Jelasnya, beberapa pemain lain akan tiba di Alor Setar dalam masa terdekat untuk diuji dan kesempatan itu akan digunakan bagi memilih penyerang terbaik.

"Tetapi setakat ini saya tidak pasti lagi maklumat lanjut mengenai penyerang yang akan tiba untuk diuji.

"Apa yang penting ialah kita akan mencari yang terbaik untuk pasukan Kedah. Saya harap penyokong bersabar dan terus memberi sokongan untuk memantapkan skuad ini," ujarnya.

Beliau menambah, lebih 100 penyerang telah disaring sebelum mereka dibenarkan menyertai sesi ujian bersama Kedah bagi jendela perpindahan sebelum ini.

"Setiap hari ramai ejen pemain menghubungi kami untuk membawa pemain, tetapi saya tidak melayani kehendak mereka begitu sahaja kerana perlu memilih penyerang terbaik buat pasukan Kedah.

"Selain diuji, kita ada cara tersendiri dalam menyaring biodata yang dihantar oleh pemain atau ejen sendiri.

"Tidak guna saya terima pemain yang tidak bermain selama setahun untuk diuji kerana kami akan membenarkan mereka yang beraksi kali terakhir pada Mei, itu pun tempoh paling lama tidak bermain untuk mana-mana pasukan.

Dalam perlawanan persahabatan seterusnya Kedah akan bertemu DRB Hicom di Stadium Darul Aman pada Rabu ini dan PKNS di Stadium Shah Alam (Ahad depan).

Kedah, Bruno Lopes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain