suria

Sandro Da Silva Sarung Jersi Kedah Julai Ini - TCH

SANDRO Da Silva dijangka kembali ke Alor Setar dalam tempoh sebulan lagi selepas selesai menjalani pembedahan kecil tulang belakang di Brazil baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, beliau mendapat khabar daripada Da Silva bahawa pemain berkenaan kini berada dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan.

Menurutnya, berikutan itu, pemain tengah berkenaan dijangka kembali menyarung jersi hijau kuning apabila aksi Liga Malaysia bersambung pada Julai ini.

"Saya telah mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada Da Silva membuktikan kemampuan dirinya selepas menjalani pembedahan kecil di Brazil. Sekarang dia hanya memerlukan sedikit masa untuk kembali cergas sepenuhnya.

"Pada musim lalu Da Silva telah membuktikan kewibawaannya dengan memastikan kita berjaya menjuarai Liga Premier. Dia juga menjadi penjaring utama Kedah ketika itu.

"Saya yakin jika dia benar-benar berjaya mengatasi kecederaan tulang belakangnya, Da Silva mampu menjadi pemain yang berkemampuan membuka ruang bagi penyerang menghasilkan gol," katanya kepada mStar Online.

Da Silva yang merupakan pemain kelahiran Brazil terpaksa pulang ke negaranya selepas mengalami kecederaan tulang belakang sehingga membataskan pergerakannya di atas padang.

Berikutan itu, pemain tersebut terlepas beberapa perlawanan penting dalam Liga Super dan Piala FA sebelum ini.

Sandro bersama keluarganya.

Cheng Hoe menambah, sesi latihan pada Ramadan diadakan selama satu jam iaitu dari pukul 10 hingga 11 malam dan Persataun Bolasepak Kedah (KFA) sedang mengaturkan beberapa perlawanan ujian di Alor Setar dan di Lembah Klang.

"Saya pilih untuk berlatih di Lembah Klang kerana terdapat empat pasukan iaitu PKNS FC, Kuala Lumpur, Selangor dan PDRM FC yang bersedia untuk menentang kita.

Sekarang saya hanya menunggu ketibaan penyerang import untuk diuji. Keputusan muktamad mengenai penyerang baru ini saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk diputuskan," jelasnya.

Cheng Hoe memberitahu, setakat ini empat pemain Kedah iaitu Farhan Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad dan Farhan Roslan dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Katanya, pemain import pula seperti Bang Seuang Hwan, Liridon Krasniqi dan Carlos Eduardo (Kahe) telah menyertai latihan seperti biasa bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia.

Kedah, Brazil

Artikel Sebelum

Artikel Lain