suria

Aksi Penalti Letak Vietnam Di Tempat Ketiga

Pemain Vietnam Huynh Tan Sinh (kiri) mengawal bola kemas daripada dirampas oleh pemain Singapura, Muhd Amir Zalani pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Negara-Negara bawah 21 tahun di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Ahad. -fotoBERNAMA

MELAKA: Vietnam merangkul tempat ketiga selepas mengalahkan Singapura 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara di Stadium Hang Jebat di sini, Ahad.

Perlawanan penuh dramatik itu terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan bawah 21 tahun itu terikat 2-2 pada saingan penuh masa.

Vietnam, dilatih Hoang Anh Tuan, lebih banyak menguasai permainan dengan rentak kemas dan dominasi bahagian tengah, namun dikecewakan dengan penyudah tumpul yang menghalang pasukan itu mencatat kemenangan lebih awal.

Vietnam memperoleh peluang pada minit ke-16 apabila hantaran kemas Trieu Viet Hung menembusi bentang pertahanan gagal disambar oleh Nguen Tien Linh dengan penjaga gol Singapura, Hairul Syirhan Mardan menyelamatkan keadaan.

Tien Linh memperoleh satu lagi peluang pada minit ke-31 selepas menerima hantaran lintang Doan Van Hau, namun sepakan lemah Tien Linh dalam kotak penalti mudah diselamatkan Hairul Syirhan.

Di sebalik serangan bertali arus Vietnam, Singapura, yang dilatih Richard Francis Emile Tardy, memecah kebuntuan pada minit ke-42 setelah Adam Swandi menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Muhd Muhaimin Suhaimi.

Muhd Hazim Faiz Hassan memberikan gol kedua buat Singapura pada minit ke-51 apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Joshua Bernard Pereira dikasari oleh pemain pertahanan Vietnam, Ho Tan Tai dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, lima minit kemudian, Vietnam merapatkan jurang jaringan menerusi sepakan penalti Huynh Tan Sinh setelah Adam mengasari Tan Tai.

Vietnam akhirnya memperolehi gol penyamaan yang dicari-cari pada masa tambahan minit ke-91 apabila Ha Duc Chinh menyudahkan hantaran lintang dari Quang Hai. - BERNAMA


Vietnam, Piala Negara-Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain