suria

Jangan Rasa Selasa - Kim Swee

Kim Swee (dua kanan) bersalaman dengan ketua jurulatih Timor Leste Fabio Maciel (dua, kiri) pada sidang media praperlawanan kalah mati pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2019, Ahad. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Skuad Harimau Malaysia diberi amaran agar tidak berasa selesa dengan kemenangan pada aksi pertama, sebaliknya terus menampilkan prestasi mantap apabila berdepan Timor Leste pada perlawanan kedua play-off kelayakan Piala Asia 2019 di sini, Isnin.

Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata pemain negara perlu berhati-hati kerana pasukan Timor Leste sudah tentu mahukan kemenangan dengan jaringan yang besar, selepas tewas 0-3 pada aksi pertama, sebelum ini.

"Kita harus bersedia dengan segala perancangan kerana kita tidak pasti apa yang mereka lakukan.

"Jika mereka menggunakan corak permainan pantas, kita harus tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi itu," katanya pada sidang media pra-perlawanan berkenaan, di sini Ahad.

Kim Swee berkata skuad Harimau Malaysia berkemungkinan menerapkan corak permainan yang sama sewaktu pertemuan pertama lalu, namun semua itu bergantung kepada situasi perlawanan pada Isnin.

"Jika saya perlu menukar corak permainan ketika perlawanan tersebut, saya akan tukar.

"Tidak semestinya kita harus ikut corak yang sama. Ini perlawanan timbal balik dan kita kena faham, pasukan Timor Leste juga sudah tentu inginkan gol," katanya.

Mengenai kecederaan dialami Brendan Gan dan Shahrom Kalam pada perlawanan sebelum ini, Kim Swee berkata keadaan kedua-dua pemain berkenaan semakin pulih.

Beliau, bagaimanapun berkata peluang untuk mereka beraksi dalam perlawanan pada Isnin, hanya akan diketahui selepas sesi latihan, Ahad.

Kita akan teliti dahulu sebelum memberi kata putus sama ada mereka dapat diturunkan atau tidak.

"Ia (keputusan itu) termasuk (penjaga gol) Izham (Tarmizi) yang mengalami kecederaan buku lali," katanya, sambil optimis skuad Harimau Malaysia mampu menampilkan aksi mantap walaupun terpaksa beraksi pada hari pertama Ramadan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain