MENGHABISKAN masa lebih lima jam sehari berbaring sambil melayari internet di telefon bimbit dan bermain permainan video membawa padah kepada seorang pelajar apabila kakinya mengalami bengkak serta sakit sehingga sukar berjalan.Remaja yang baru selesai menduduki peperiksaan kemasukan universiti (Gaokao) itu dikatakan menghabiskan masa hampir setiap hari di rumah tanpa banyak bergerak sepanjang cuti musim panas. Selepas kira-kira dua minggu mengamalkan gaya hidup sedemikian, betis pada kaki kanannya mula membengkak dan kesakitan yang dialami semakin teruk.Kejadian itu dilaporkan berlaku di Taizhou, Zhejiang, China.Pemeriksaan di hospital mengesahkan pelajar berkenaan mengalami trombosis vena dalam atau Deep Vein Thrombosis (DVT), iaitu keadaan pembekuan darah di saluran vena bahagian kaki.Menurut doktor, pesakit berkemungkinan mempunyai kecenderungan untuk mengalami pembekuan darah, namun tabiat duduk atau berbaring terlalu lama tanpa melakukan pergerakan menjadi pencetus utama keadaan itu.Doktor turut mengingatkan golongan muda juga berisiko mengalami darah beku jika terlalu lama tidak bergerak atau aktif. Antara tanda amaran utama yang perlu diberi perhatian ialah sebelah kaki membengkak, rasa sakit, kemerahan atau terasa panas.Jika disertai sesak nafas atau sakit dada, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan kerana darah beku mungkin bergerak ke paru-paru dan boleh mengancam nyawa. -Agensi