TEKANAN boleh memberi kesan kepada tubuh manusia tanpa disedarai termasuk mengubah tabiat pemakanan seseorang.Jadi tidak hairan ramai cenderung mencari makanan atau minuman manis setiap kali berdepan tekanan kerana percaya ia mampu mengurangkan tahap stres dalam tempoh singkat. Menurut seorang ahli farmasi iaitu dikenali sebagai Jasmine, keadaan itu berlaku apabila badan menghasilkan hormon kortisol ketika seseorang mengalami tekanan.Jelasnya, peningkatan paras kortisol menyebabkan badan memerlukan tenaga dengan kadar segera kerana tubuh sedang bersedia untuk menghadapi situasi yang mencetuskan tekanan.Disebabkan itu, badan akan menghantar isyarat yang menyebabkan seseorang mengidam makanan atau minuman manis.Katanya, makanan manis serta karbohidrat ringkas mampu membekalkan tenaga dengan cepat, sekali gus memenuhi keperluan badan ketika berada dalam keadaan tertekan.Pada masa sama, pengambilan makanan seperti aiskrim turut mengaktifkan reward system atau sistem ganjaran di dalam otak yang mencetuskan rasa gembira selepas menikmatinya.Keadaan tersebut dikenali sebagai stress eating, iaitu tabiat makan yang didorong oleh emosi dan tekanan, bukannya rasa lapar sebenar.Bagi mengawal tabiat itu, Jasmine menyarankan orang ramai mendapatkan waktu tidur mencukupi supaya badan dan minda dapat berehat dengan baik.Dia turut menggalakkan pengambilan makanan tinggi kandungan protein serta karbohidrat kompleks kerana ia membantu seseorang berasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk menikmati makanan manis.Selain itu, mereka turut disarankan meninggalkan seketika situasi mencetuskan tekanan dengan berjalan kaki selama 10 hingga 15 minit bagi membantu menenangkan fikiran.Menurutnya lagi, pengambilan air kosong yang mencukupi juga penting kerana rasa dahaga kadangkala boleh disalah anggap sebagai keinginan untuk mengambil makanan bergula.Melakukan aktiviti disukai seperti mendengar muzik, bersenam atau meluangkan masa dengan hobi tertentu juga boleh membantu mengurangkan tekanan dan sekali gus mengawal tabiat stress eating.