suria

IOC Sokong Pakej Sukan Baharu Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hari ini menyokong cadangan untuk menambah pakej lima sukan baharu ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

IOC, dalam kenyataannya, berkata jika ia diluluskan pada mesyuarat Sesi IOC ke-129 di Rio de Janeiro pada Ogos ini, perubahan itu adalah evolusi paling menyeluruh untuk program Olimpik dalam sejarah moden.

Lima sukan berkenaan - karate, papan luncur, sukan mendaki, surfing dan besbol/sofbol - memberi tumpuan kepada belia yang juga menjadi visi temasya Tokyo 2020.

"Sukan ini menggabungkan sukan yang telah mantap dan sedang meningkat serta popular di Jepun dan seluruh dunia. Ia merangkumi sukan berpasukan dan individu, sukan dalam dan luar dewan serta sukan tumpuan bandar yang cukup diminati belia.

"Pakej lima sukan itu akan dikemukakan kepada Sesi IOC. Sukan itu dianggap berada di tempat teratas untuk cadangan kuota atlet dan acara bagi Agenda Olimpik 2020, dan tidak akan menjejaskan atlet daripada sukan yang sedia ada di Sukan Olimpik," tambah kenyataan itu.

IOC berkata perbincangan mengenai program acara untuk 20 jenis sukan dalam Olimpik bagi temasya edisi 2020 masih berjalan, dan akan dimuktamadkan oleh Lembaga Eksekutif pada pertengahan 2017.

Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mencadangkan sukan baharu itu berikutan fleksibiliti yang disediakan oleh Agenda Olimpik 2020 iaitu Pelan Tindakan IOC untuk masa depan Pergerakan Olimpik, yang menggalakkan inovasi dalam program Olimpik.

Agenda Olimpik 2020 membenarkan tuan rumah sukan itu mencadangkan sukan dan acara baharu untuk dimasukkan dalam edisi sukan yang mereka anjurkan.

Pilihan tuan rumah itu bagaimanapun tidak akan terikat untuk penganjur edisi seterusnya.

Penyenaraian sukan baharu itu akan menambahkan 18 acara dan 474 atlet untuk Sukan Olimpik 2020, tanpa menjejaskan sukan sedia ada.

"Pakej sukan baharu itu menggalakkan kesamaan jantina, dengan setiap lima sukan itu mempunyai jumlah yang sama untuk pasukan lelaki dan wanita, selain memberi tumpuan kepada inovatif dan sukan menarik untuk Jepun dan masyarakat antarabangsa," tambah kenyataan itu.

Olimpik

Artikel Berikut

Artikel Lain