suria

Tiada Atlet Malaysia Positif Doping Sukan Olimpik 2008

KUALA LUMPUR: Tiada atlet Malaysia terlibat dalam isu penyalahgunaan dadah pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China yang diuji semula oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo mengesahkan bahawa tiada atlet negara dalam senarai 31 atlet yang didapati positif ujian tersebut.

"Daripada apa yang kami tahu, tidak ada atlet Malaysia yang terlibat. Ia ujian secara rambang ke atas beberapa atlet yang mencurigakan daripada beberapa negara dan sukan atau negara yang 'panas' dalam isu doping, tetapi sampel pemenang pingat sudah pasti diuji.

"Tujuannya untuk menyampaikan mesej kepada semua atlet dan pegawai bahawa mereka mesti bersih daripada doping," katanya. 

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menyenarai hitamkan 31 atlet dari 12 negara merangkumi enam sukan selepas ujian semula 454 sampel daripada Olimpik Beijing oleh WADA menggunakan teknologi terbaru.

"Jika ujian itu positif, mereka akan digantung sementara menunggu perbicaraan...prosedur itu adalah normal dan atlet perlu diberi peluang untuk dibicarakan," kata Beng Choo.

Menurut IOC, ia adalah sebahagian daripada langkah tegas memerangi kesalahan dadah terlarang dalam kalangan atlet di seluruh dunia selepas skandal berkenaan mendedahkan kesalahan dilakukan atlet Rusia awal tahun ini. 

Keputusan 250 ujian semula ke atas sampel Olimpik London 2012 juga akan dikeluarkan sedikit masa lagi dengan jumlah kes positif doping dijangka meningkat.-Bernama

Sukan Olimpik 2008, Beng Choo, MOM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain