suria

Sasar Kedudukan Lapan Terbaik Di Rio - Hafifi

Siew Huat (kiri) selepas sidang media mengenai pengumuman Mohd Hafifi Mansor yang akan mewakili negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor menyasarkan berada dalam kelompok lapan terbaik bagi kategori 69kg pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.

Anak kelahiran Terengganu yang juga merupakan satu-satunya atlet angkatberat yang akan ke Rio itu, berhasrat memecahkan rekod Amirul Hamizan Ibrahim yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dengan jumlah angkatan 265kg di Olimpik Beijing, lapan tahun lepas.

"Sudah tentu setiap kali dalam kejohanan, kita mahu lakukan yang terbaik, menang dan mendapat pingat. Berdasarkan keupayaan dan kategori dipertandingkan, PABM menyasarkan sasaran lapan terbaik.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk memecahkan rekod Amirul," kata beliau pada sidang media di sini hari ini. Mohd Hafifi berkata beliau akan ke China pada 29 Mei ini untuk menjalani latihan selama dua bulan di Sekolah Sukan Foshan.

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada Selasa menamakan Mohd Hafifi sebagai wakil negara ke Rio selepas berjaya mendapat satu slot Olimpik di Kejohanan Angkat Berat Asia 2016 di Tashkent, Uzbekistan pada 30 April.

Pencapaian terbaik Mohd Hafifi, 26, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel New Delhi 2010, ialah 145kg bagi acara snatch dan 182kg untuk 'clean and jerk'.

Jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan berkata walaupun Mohd Hafifi mengalami sakit kaki, beliau tetap melahirkan harapan tinggi terhadap atlet itu.

"Di samping menjalani latihan di Foshan, Hafifi juga perlu jaga diri, pemakanan dan rehat yang cukup sebelum bermula temasya," kata jurulatih dari China yang fasih berbahasa Melayu itu.

Mengulas mengenai peluang meraih pingat, Wang berkata saingan bagi kategori yang disertai Hafifi sangat sengit.

"Agak sukar untuk meletakkan harapan terlalu tinggi kerana peserta darinegara-negara lain mempunyai kelebihan masing-masing," katanya. -Bernama

Artikel Lain