suria

Piala Thomas Terlepas Dari Asia Buat Kali Pertama

Pemain perseorangan pertama Denmark, Viktor Axelsen (kiri) mengucup Piala Thomas sambil diperhatikan rakan-rakan sepasukannya semasa upacara penyampaian hadiah kepada pemenang Piala Thomas 2016 di Kunshan, China, Ahad. Denmark menewaskan Indonesia 3-2. -fotoTHESTAR/Chan Boon Kai
KUNSHAN: Buat kali pertama, Piala Thomas terlepas daripada genggaman pasukan Asia dan menjadi milik Eropah apabila Denmark mencipta sejarah menundukkan Indonesia 3-2 di final di Pusat Sukan Kunshan, Ahad.

Denmark, yang muncul naib juara lapan kali termasuk pada edisi pertama pada 1949, menamatkan penantian 67 tahun dengan Hans Kristian-Vittinghus menjadi wira mengutip mata kemenangan selepas menundukkan Ihsan Maulana Mustofa 21-15, 21-7 dalam perlawanan penentuan.

Perhitungan terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir iaitu perseorangan ketiga selepas Denmark dan Indonesia, masing-masing memenangi dua perseorangan dan dua beregu untuk kedudukan 2-2.

Gergasi Eropah itu mencatat sejarah tersendiri menjadi juara pertama dari benua itu yang memenangi Piala Thomas selepas Jepun menamatkan monopoli China, Indonesia dan Malaysia menjuarai piala rebutan kejohanan berpasukan paling berprestij itu, pada edisi 2014.

Ia sekali gus turut meleburkan impian juara 13 kali, Indonesia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2002.


Vittinghus, 30, berkata beliau sememangnya bersedia mengharungi aksi penentu itu seandainya pertembungan tersebut diheret sehingga ke perlawanan kelima.

"Saya agak gemuruh pada awal permainan tetapi gembira dapat menangani keadaan itu dengan baik. Saya sudah melakukan persiapan rapi dan sememangnya mengimpikan detik ini.

"Membawa Piala Thomas untuk kali pertama ke Denmark...sememangnya sukar dijelaskan mengenai perasaan saya ketika ini. Tapi, saya amat gembira atas sumbangan saya kepada pasukan ini," katanya.

Pemain nombor empat dunia, Viktor Axelsen memulakan langkah awal kemenangan apabila mengetepikan Tommy Sugiarto 21-17, 21-18 dalam aksi pembukaan untuk membolehkan Denmark mendahului 1-0.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata sokongan hebat daripada penyokong di Pusat Sukan Kunshan menyuntik semangat tambahan kepadanya.

Beregu pertama Denmark, Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding bagaimanapun tewas kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 18-21, 13-21 untuk kedudukan terikat 1-1.

Namun perseorangan kedua mereka yang direhatkan ketika pertemuan separuh akhir menentang Malaysia, Jan O Jorgensen mudah menjinakkan Anthony Ginting 21-17, 21-12 untuk membolehkan Denmark kembali mendahului 2-1.

"Saya gembira dapat menyumbang mata untuk negara saya di final ini. Saya tidak beraksi menentang Malaysia selain tewas kepada Hsu Jen Hao (Taiwan) dan Takume Ueda (Jepun).

"Saya lebih berpengalaman daripada Ginting. Saya tidak terlalu memikirkan kemenangan supaya dapat mengawal permainan dengan baik," kata pemain ranking kelima dunia itu.

Denmark gagal mencari mata kemenangan menerusi beregu kedua, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen apabila tunduk kepada Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi 16-21, 14-21, sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi perseorangan ketiga.


 


Artikel Lain