suria

Bekas Pelumba Basikal Kebangsaan Maut Kemalangan Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba basikal kebangsaan, N.A. Rosli yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun, maut dalam kemalangan jalan raya pagi Ahad.

Menurut anaknya Nor Effendy Rosli, bekas pelumba berbasikal jalan raya berusia 77 tahun itu yang sedang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan di Kuchai Lama di sini, kira-kira 7 pagi tadi.


"Kami masih belum tahu maklumat mengenai kemalangan itu dan polis masih menjalankan siasatan, tetapi mungkin kes langgar lari.

"Ayah tinggal bersama adik saya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Jalan Klang Lama. Beliau mungkin pergi melawat kubur emak di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2 atau ke Kebun di Puchong, itu sahaja rutin dia pada hujung minggu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Ahad.

Beliau berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, AU2 di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2 selepas Zuhur.

Allahyarham meninggalkan lima anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Rosli merupakan seorang daripada sembilan atlet berbasikal yang membawa bendera Malaysia ke temasya Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, bersama Andrew Michael, Choy Mow Thin, Supaat Hamid, Salam Kamsari, Ng Joo Pong, Zain Safaruddin, Stephen Lim Tian San dan Tuow Choon Boon.

Buat pertama kali, Malaysia menyertai Sukan Olimpik 1964 selepas pembentukan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan juga Singapura, di mana seramai 66 atlet mewakili negara pada masa itu.

Sementara itu, bagi seorang lagi bekas pelumba negara, Datuk Ng Joo Ngan pemergian Rosli merupakan kehilangan besar buat negara dan sukan berbasikal khususnya.

"Kami merupakan kawan baik lebih kurang 54 tahun, sejak saya mula melibatkan diri dalam sukan berbasikal. Beliau merupakan seorang yang sangat berdedikasi dan aktif.

"Saya sangat sedih dengan pemergian seorang kawan baik," kata bekas pelumba berusia 69 tahun itu.

Artikel Lain