suria

Piala Thomas: Malaysia Ke Separuh Akhir, Tewaskan Taiwan 3-1

Iskandar Zulkarnain mengutip mata kedua untuk Malaysia pada aksi suku akhir, Khamis.

KUNSHAN: Malaysia menepati sasaran awal layak ke separuh akhir Piala Thomas selepas mudah menumpaskan Taiwan 3-1 di suku akhir di Pusat Sukan Kunshan, Khamis.

Hanya satu lagi halangan untuk skuad negara menyamai pencapaian melangkah kefinal edisi 2014, dengan lawan yang bakal menanti di separuh akhir adalah antara juara bertahan, Jepun dan Denmark yang akan membuat perhitungan di suku akhir malam ini.

Skuad negara mengutip mata pertama menerusi pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan Chou Tien Chen 21-18, 21-18 dalam masa 48 minit.

Malaysia menurunkan Goh V Shem dengan gandingan asalnya, Tan Wee Kiongsebagai beregu pertama untuk perlawanan hari ini, tetapi pasangan nombor 14 dunia itu gagal memberikan aksi seperti yang diharapkan.

V Shem-Wee Kiong yang memenangi set pertama 21-16, bagaimanapun gagal mempertahankan rentak kejayaan dan tewas dua set berikutnya 19-21, 19-21 kepada Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dalam pertarungan hampir sejam, untuk membolehkan Taiwan menyamakan kedudukan 1-1. -

Perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin bijak menyerap tekanan dengan menampilkan aksi menarik dengan asakan-asakannya untuk menewaskan Hsu Jen Hao 21-8, 21-13, sekali gus meletakkan kembali Malaysia di landasan kemenangan.

Beregu kedua negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghasilkan mata kemenangan apabila menumpaskan Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin 21-16, 22-20, tetapi sebelum itu memberi kegelisahan kem negara dengan persembahan turun naik mereka terutama dalam set kedua.

Mata penting yang disumbang Iskandar turut mendapat pujian Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen, terutama ketika berdepan kedudukan genting bagi memastikan Malaysia kekal menguasai perlawanan itu.

"Iskandar bermain dengan cemerlang. Saya harap dia akan terus mengekalkan persembahannya...tapi banyak yang perlu dilakukan untuk beregu negara.

"Mereka (pemain beregu) bermain dengan baik dan kita tahu mereka cuba menampilkan aksi terbaik. Tapi banyak yang perlu diperbaiki lagi," katanya.

Terdahulu, Chong Wei ketika ditemui berkata skuad negara hanya mengetahui siapa bakal ditentang pada suku akhir awal pagi tKhamis, berikutan undian hanya dilakukan pada 1 pagi sebaik semua perlawanan peringkat kumpulan tamat.

"Selepas tahu Taiwan menjadi lawan di suku akhir, kita hanya perlu beri fokus untuk menampilkan aksi terbaik sebab Taiwan bukan pasukan yang boleh dipandang rendah kerana mereka telah layak ke suku akhir," katanya. -Bernama

Piala Thomas, Separuh Akhir

Artikel Lain