suria

Amirulhadi Harap Kematangannya Beri Nilai Tambah Kepada Harimau Malaysia

Amirulhadi (kanan)

JOHOR BAHARU: Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohd Amirulhadi Zainal berharap kematangannya dalam menghadapi perlawanan dapat memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaysia.

Pemain itu, yang diberi peluang oleh ketua jurulatih JDT Mario Gomez sebagai 'perancang' dalam perlawanan Liga Super menentang Pahang FC malam tadi, beraksi cemerlang dengan menjaringkan gol pertama JDT.

Mohd Amirulhadi, yang bakal menyambut harijadinya yang ke-30 pada 27 Mei, menggantikan tugas sebagai perancang yang sebelum ini digalas Safiq Rahim.

Safiq kini direhatkan akibat kecederaan lutut kiri sejak perlawanan akhir Piala FA menentang PKNS FC di Shah Alam Sabtu lalu (14 Mei).

"Tunjuk ajar ketua jurulatih (Gomez) banyak membantu saya memperbaiki cara permainan.

"Dengan bantuan beliau, saya lebih matang dan berdisiplin dalam mengatur serangan berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Pahang FC malam tadi (Rabu).

Amirulhadi dipanggil semula oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu selepas lima tahun, dengan aksi terakhirnya pada perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai 2011, yang menyaksikan Malaysia seri 1-1 dengan Singapura.

Sebanyak 25 pemain dipanggil untuk persiapan skuad kebangsaan menghadapi Myanmar di Yangon, 28 Mei ini, disusuli dua perlawanan play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor-Leste di Stadium Larkin, 2 dan 6 Jun ini.

Pada 22 Mei, seramai 15 pemain dijangka melaporkan diri untuk latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, disusuli 10 pemain daripada JDT akan melapor diri pada 26 Mei, sehari selepas aksi pusingan kedua Piala AFC 2016 menentang Kaya FC di Stadium Larkin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain