suria

Zulfahmi Yakin Dapat Beri Aksi Terbaik Esok

SEPANG: Pelumba negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin yakin dapat memberikan aksi terbaik dalam perlumbaan kelas Supersport dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pusingan Malaysia, di Litar Sepang pada Ahad.

Pada saingan Superpole 2 atau kelayakan, Sabtu, pelumba berusia 24 tahun itu mencatat masa 2:08.475s untuk menyambar kedudukan kelima di grid perlumbaan esok.

"Saya sangat gembira dengan kedudukan di grid untuk perlumbaan esok. Saya berpuas hati dengan 'set up' motosikal yang membantu saya memberikan prestasi tunggangan 100 peratus pada awal sesi, yang mana saya dapat membuat masa lep yang baik.

"Selepas menukar tayar baharu, saya dapat memecut dengan lebih laju.

Bagaimanapun pada selekoh terakhir saya ada membuat sedikit kesilapan. Saya berharap dapat teruskan prestasi seperti ini pada perlumbaan esok," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi Superpole 2 di sini, Sabtu.

Pada saingan Superpole 2 itu, pelumba Turki Kenan Sofouglu daripada pasukan Kawasaki Puccetti Racing akan memulakan saingan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas 2:08.055s.

Sementara rakan sepasukan Sofouglu, Randy Krummenacher dari Switzerland di tempat kedua dengan masa 2:08.155s manakala pelumba Great Britain, Gino Rea daripada pasukan GRT Racing Team ditempat ketiga dengan 2:08.410s.

Mengenai perlumbaan esok, Muhammad Zulfahmi berkata beliau perlu bijak dalam penggunaan tayar bagi mempastikan beliau dapat memberikan saingan terbaik.

"Penggunaan tayar sangat penting...saya tidak boleh pergi terlalu laju pada awal perlumbaan dan juga tidak boleh terlalu perlahan pada awal perlumbaan. Saya perlu konsisten dalam setiap pusingan.

Selain daripada itu, saya juga perlu ada rentak yang lebih kurang sama dengan pelumba-pelumba yang berada di barisan hadapan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain