suria

Piala Thomas: Rashid Akui Skuad Negara Tidak Cukup Kuat Untuk Ke Final

Rashid dan Rosman Razak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Akademi Badminton AirAsia. Foto: LOW BOON TAT/The Star

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek mengakui skuad skuad negara belum cukup bersedia untuk mara ke final Piala Thomas di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

Pun begitu Rashid yang turut membantu skuad negara menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992 yakin dengan pemilihan yang telah dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terutamanya empat pemain perseorangan dan pemain beregu ketiga.

"Pada saya, mungkin ini adalah keputusan terbaik pada BAM walaupun ada timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemain terutamanya mereka yang dilihat lebih layak dari segi ranking dan prestasi semasa.

"Peluang untuk berada di separuh akhir memang cerah. Tapi kalau BAM sasar untuk ke final, line up bukan macam ini, line up lebih bagus dari itu," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman dua ketua jurulatih baharu Akademi Badminton AirAsia pada Rabu.

Skuad Piala Thomas negara dibarisi empat perseorangan lelaki yang diketuai Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat serta tiga pasangan beregu iaitu Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Teo Ee Yi/Ong Yew Sin.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Barcelona 1992 itu juga berkata, bekas juara dunia remaja Zulfadli Zulkifli dilihat lebih sesuai berbanding Goh Soon Huat dan ada pasangan beregu yang lebih baik menggantikan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

"Saya faham sikap rasional BAM dengan memilih Chong Wei Feng. Saya tidak ada masalah dengan itu, tetapi Soon Huat?," kata Rashid.

"Apa yang telah dia buktikan? Saya percaya Zulfadli telah mencatat keputusan lebih baik dengan menewaskan beberapa pemain terkemuka.

"Pun begitu, pemilihan telah dibuat. Kami ucapkan selamat berjaya dan akan lihat keputusannya nanti".

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman, manakala juara bertahan Jepun diundi bersama China, Peranchis dan Mexico dalam Kumpulan A.

Pada majlis pengumuman itu, Rashid dan Rosman Razak dilantik sebagai ketua jurulatih baharu masing-masing untuk acara perseorangan dan beregu dalam usahasama dengan Akademi Sports Affairs.

Akademi Badminton AirAsia telah melatih lebih daripada 250 pemain sejak ia ditubuhkan pada 2012.

Turut menyertai barisan pemain Akademi Badminton AirAsia termasuk pemain Indonesia yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro,Tommy Sugiarto dan pemain negara Muhammad Arif Abdul Latif yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2015.

Rashid Sidek, Piala Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain