suria

Ibu Terharu Ranieri Jadi 'Raja Inggeris'

Pengurus Leicester City Claudio Ranieri (tengah) dikerumuni penyokong kelab bola sepak itu sebaik sahaja selesai makan di sebuah restoran bersama pasukannya di Leicester bagi meraikan gelaran juara Liga Perdana Inggeris yang diraih bagi musim ini. -fotoAFP
PRESTASI luar biasa pengurus Leicester City, Claudio Ranieri telah menyebabkan ibunya, Renata, begitu berbangga dengannya sehingga menggelar anaknya itu sebagai Raja Inggeris.

Ranieri yang bersama Leicester musim ini berjaya membawa pasukannya meraih takhta juara Liga Perdana Inggeris.

The Foxes memastikan gelaran juara pada minggu ke-36, selepas Tottenham Hotspur mencatat keputusan seri dengan Chelsea.

Leicester yang mengumpul 77 mata tidak mungkin dapat dipintas oleh Spurs yang ketinggalan tujuh mata di belakang Leicester.

Ranieri dihujani banyak pujian daripada pelbagai pihak di seluruh dunia termasuklah daripada Perdana Menteri David Cameron.

Melihat situasi ini, ibunya berasa sangat terharu dan menitiskan air mata kegembiraan.

"Saya mula menangis setelah perlawanan tamat," kata Renata kepada La Repubblica yang dipetik Soccerway.

"Selepas itu dia menghubungi saya dan seluruh keluarga. Claudio menghubungi saya setiap malam, tapi kali ini sangat istimewa dan dia sangat gembira, begitu juga seluruh keluarga kami.

"Sekarang kami rasa lega dan dapat menikmati saat indah ini.

"Kami tak mengharapkan semua ini berlaku, tapi Claudio mampu bertemu dengan kumpulan pemain yang luar biasa yang berjuang seperti pemain yang benar-benar profesional dan akhirnya mereka semua telah berada pada tempatnya dan anak saya sendiri telah membuktikannya.

"Dia sekarang adalah Raja Inggeris dan kami mendengar pujian dari seluruh dunia mengenai dirinya, dan saya berterima kasih atas semua ini," kata Renata.
Claudio Ranieri, Renata

Artikel Lain