suria

Sandro Da Silva Yakin Kedah Pungut Tiga Mata

"SAYA tidak mampu untuk bantu Kedah kali ini, tapi saya yakin rakan-rakan dapat membawa pulang tiga mata penuh," kata Sandro Da Silva selepas ditanya mengenai status kecederaan pergelangan kaki kiri yang dialaminya.

Pemain import dari Brazil itu juga percaya pemain muda Kedah mampu menghadapi cabaran T-Team dalam saingan Liga Super di Kuala Terengganu esok.

Menurutnya, kecederaan itu turut menghalang dia daripada menghadiri sesi latihan atau persediaan yang sedang dilakukan jurulatih.

“Pasukan Kedah tidak pernah bergantung kepada mana-mana pemain secara individu untuk mencari kemenangan, barisan pemain yang ada ketika ini tidak kira simpanan ataupun tonggak utama mampu memastikan segala perancangan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berjalan dengan lancar.

“Doa saya sentiasa akan bersama rakan sepasukan ketika berdepan T -Team dan saya yakin walaupun beraksi di gelanggang lawan kemampuan kami mencatatkan kemenangan bukanlah mustahil,” katanya kepada mStar Online.

Da Silva memberitahu, ketika ini moral dan semangat barisan pemain berada di tahap terbaik tetapi mereka tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan T-Team.

“Kejayaaan T-Team pada dua perlawanaan lalu perlu membuka mata rakan sepasukan saya untuk memastikan mereka terus mengekalkan semangat dan kesungguhan yang dipamerkan ketika menewaskan Johor Darul Ta'zim pada perlawanan separuh akhir Piala FA Sabtu lalu.

“Rakan sepasukan saya perlu berusaha sejak wisel permulaan sehingga akhir kalau mahu kita mengecapi kejayaan di Kuala Terengganu, tidak ada lawan yang mudah dijinakkan tanpa usaha keras daripada kesemua pemain yang beraksi.

“Stadium Sultan Nasiruddin Shah bole dianggap gelanggang bertuah untuk pasukan Kedah kerana kita berjaya mendapat kejayaan  pada perlawanan Liga Premier musim lalu," ujarnya.

Sandro Da Silva, Liga Super

Artikel Lain