suria

Ramdan Raih Lima Mata Di Valencia Selepas Hampa Peringkat Awal

KUALA LUMPUR: Pelumba Pembangunan Bakat Petronas, Mohd Ramdan Rosli, melalui pengalaman pahit bercampur manis pada pusingan pembukaan Kejuaraan Moto2 Eropah apabila terkeluar daripada Perlumbaan 1, tetapi mendapat tempat ke-11 pada Perlumbaan 2 di Litar Valencia, Sepanyol pada Ahad.

Pelumba yang mewakili pasukan Petronas AHM Malaysia itu meraih lima mata atas pencapaian tersebut dan menduduki tempat ke-14 keseluruhan.

"Saya sepatutnya boleh mencapai keputusan lebih baik pada Perlumbaan 1, tetapi saya membuat kesilapan besar apabila melakukan terlalu lebih dan terlalu awal mengejar kumpulan pendahulu. Saya ingin menunjukkan sesuatu yang terbaik dan memperbaiki pusingan terpantas saya agar pasukan bangga tetapi ia berakhir dengan nahas.

"Pada Perlumbaan 2, nasib saya lebih baik. Dengan prestasi dan keyakinan saya miliki hari ini, memang ada peluang menamatkan perlumbaan di tempat kelima, tetapi terasa sakit sangat di kaki kiri saya akibat terjatuh pada Perlumbaan 1. 

"Ia sampai ke tahap saya terpaksa menggunakan tangan untuk menukar gear. Ia suatu perlumbaan yang amat mencabar, tapi saya gembira kami masih mampu mendapat lima mata," kata Ramdan seperti dipetik dalam kenyataan dikeluarkan Petronas.

Ramdan mempamerkan prestasi cemerlang pada pusingan kelayakan untuk meraih petak di barisan ketiga bagi memulakan perlumbaan, tetapi harapan menaiki podium berkecai apabila dia terjatuh pada pusingan pembukaan Perlumbaan 1 setelah bersaing hebat dengan pelumba Jepun, Tetsuta Nagashima.

Setelah mengalami kecederaan pada kaki kirinya, Ramdan mengambil pendekatan lebih konservatif pada Perlumbaan 2 dan keputusan itu membuahkan hasil apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 dengan masa 31:48.705s.

"Pasukan agak berpuas hati dengan motosikal, ampaian dan prestasi Ramdan hari ini. Walaupun ia bukanlah seperti apa yang kami harapkan untuk memulakan musim ini, kami tetap mengutip mata.

"Lebih penting lagi, Ramdan mempamerkan kematangan dan keazaman mengagumkan untuk menghabiskan perlumbaan, walaupun menghadapi banyak kekurangan. Pasukan berbangga dengannya dan kami berharap dia akan pulih untuk menghadapi perlumbaan akan datang," kata pengurus pasukan, Kenny Chua.

Pusingan 2 Kejuaraan Moto2 Eropah akan berlangsung di Motorland Aragon, Sepanyol pada 29 Mei.-- Bernama

Ramdan Rosli, Moto2, Valencia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain