suria

Gol Ke-500 Messi Gagal Catat Kemenangan Barca

Messi yang menjaringkan gol ke-500 untuk catatan peribadinya gagal membawa kemenangan buat Barcelona.

MADRID: Lionel Messi mencatatkan rekod peribadinya apabila menyumbat gol ke-500 ketika Barcelona menentang Valencia, namun ia masih gagal menyelamatkan pasukannya apabila terpaksa akur dengan kekalahan keempat daripada lima perlawanan.

Tambah mengecewakan lagi, Barca tewas 1-2 kepada Valencia di laman sendiri, sekaligus meletakkannya sebaris dengan Atletico Madrid dengan 76 mata.

Tindakan Messi menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa jaringan untuk kelab itu sebelum ini bagaimanapun tidak dapat meniupkan semangat untuk pasukannya bangkit meraih kemenangan.

Selepas hampir menjulang tiga trofi kali kedua berturut-turut dua minggu lalu, Barca mungkin terlepas tiga trofi utama apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Atletico minggu lalu dan hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan terakhir La Liga.

Biarpun berdepan kekalahan kebelakangan ini pengurus Barca, Luis Enrique memuji aksi pasukannya dan yakin mereka boleh menang lima perlawanan terakhir untuk mempertahankan gelaran itu.

“Tuah tidak menyebelahi pasukan. Saya mengucapkan tahniah kepada pemain kami yang tabah menghadapi kesukaran ketika perlawanan.

“Kami masih bergantung kepada diri sendiri. Kami tidak boleh melakukan kesilapan lagi dan sedar cabaran yang menanti.

“Kini kami berdepan cabaran besar, lima perlawanan yang perlu kami menangi untuk bergelar juara," kata Enrique.

Artikel Lain