suria

Skuad Hoki Lelaki, Wanita Kebangsaan Terbang Ke Jepun

Pemain-pemain Malaysia kecewa setelah tewas kepada New Zealand pada Ahad. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Setelah gagal menaiki podium kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir di Ipoh pada Ahad, pasukan hoki kebangsaan akan berlepas ke Jepun untuk mengadakan enam perlawanan jelajah bagi meningkatkan prestasi mereka.

Skuad negara gagal menyerlah dan menduduki tempat terakhir kejohanan tersebut.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada mesyuarat lembaga eksekutifnya memutuskan bahawa semasa mengadakan jelajah selama 10 hari itu, bermula 6 Jun, pasukan senior kebangsaan akan mengadakan empat perlawanan latihan dan dua ujian rasmi menentang skuad kebangsaan Jepun.

Bagaimanapun, pasukan wanita kebangsaan akan memulakan siri jelajah mereka lebih awal iaitu dari 2 hingga 10 Mei dan akan mengadakan lima perlawanan dengan skuad wanita junior negara itu.

Ini merupakan siri jelajah kedua bagi kedua-dua pasukan itu selepas jelajah Oceania dan China pada Mac.

Sementara itu, MHC yang telah melunaskan hutangnya sebanyak RM2.9 juta dalam tempoh 11 bulan selepas Datuk Seri Subahan Kamal mengambil alih jawatan presidennya, membuat keputusan untuk mengenakan yuran kelulusan bagi pertandingan antarabangsa yang dihoskan sesebuah negeri.

"Ini sejajar dengan apa yang dikenakan AHF (Persekutuan Hoki Asia) dan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) terhadap MHC kerana menganjurkan kejohanan. Bagaimanapun, yuran ini tidak akan membebankan penganjur," kata Ketua Pegawai Eksekutif MHC K. Logan Raj kepada Bernama.

"Jumlahnya sedang ditentukan, tapi seperti yang dikatakan, ia tidaklah besar. Kuantum yang diperoleh daripada hos kemudian akan digunakan bagi mamajukan sukan ini," katanya.

Selain Piala Sultan Azlan Shah, kejohanan peringkat junior, Piala Sultan Johor, adalah satu lagi pertandingan anjuran negeri.

MHC juga membuat keputusan memperuntukkan RM50,000 sebagai geran bagi tiga negeri yang memulakan liga masing-masing tahun ini iaitu Melaka, Pahang dan Kelantan.

Logan berkata dana permulaan RM10,000 telah diserahkan kepada persatuan hoki negeri berkenaan pada 23 Mac, manakala selebihnya akan dibayar kemudian.

"MHC mengambil inisiatif mewujudkan Liga Negeri TNB di mana setiap negeri akan mengendalikan liga masing-masing.

"Sebelum ini, negeri seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur menganjurkan liga sendiri, tanpa sokongan kewangan daripada MHC, tetapi melibatkan kerjasama korporat kami dengan TNB," katanya.

Lembaga itu juga memutuskan bahawa melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Pertandingan, Pengarah Program Pembangunan MHC Tai Beng Hai dan Pengarah Teknikal Teknikal, Terry Walsh, akan mengendalikan seminar kejurulatihan disemua pertandingan peringkat kebangsaan bagi memastikan para jurulatih sentiasa mengemukakan maklumat terkini. Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain