suria

Pandelela Tempat Keempat Pusingan Ketiga Siri Kejohanan Terjun Dunia Fina

Gambar fail Pandelela Rinong.

KUALA LUMPUR: Ratu terjun Malaysia, Pandelela Rinong Pamg gagal membuat penyudah podium pada pusingan ketiga Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA 2016 di Pusat Akuatik dan Latihan Antarabangsa Windsor, Kanada pada Sabtu.

Menurut laman web rasmi FINA  www.fina.org, atlet berumur 23 tahun dari Sarawak itu yang bergandingan dengan Leong Mun Yee memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama dalam pusingan pembukaan di Beijing, China pada 11 Mac, hanya sekadar mengumpul 355.80 mata dalam acara individu itu untuk tempat keempat.

Penerjun dari China, Ren Qian meraih pingat emas selepas mengumpul 445.25 mata manakala penerjun tuan rumah Roseline Filion dan Meaghan Benfeito masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa dengan 378.85 dan 372.70 mata.

Selepas tiga pusingan, Pandelela Rinong menduduki tempat keenam dengan 28 mata, 10 mata di belakang pendahulu, Melissa Wu dari Australia dalam kedudukan keseluruhan.

Seorang lagi penerjun Malaysia, Wendy Ng Yan Yee akan bertanding dalam acara 3 meter papan anjal individu lewat Ahad.

Pusingan akhir Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA akan berlangsung di Kazan, Russia, dijadual 22-24 April. - Bernama

Pandelela Rinong

Artikel Lain