suria

Gagal Kuasai Teknik Jurulatih Punca Skuad Penyu Merosot - Presiden PBSNT

Wan Ahmad Nizam Wan Hamid.

KUALA TERENGGANU: Kegagalan pemain Terengganu menguasai teknik yang diperkenalkan ketua jurulatih Mike Mullvey dikatakan punca kemerosotan pasukan itu sejak akhir-akhir ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata, para pemain belum dapat mempraktikkan teknik yang ditonjolkan jurulatih kelahiran Manchester itu.

Mike Mullvey sebelum ini banyak menjadi jurulatih dengan kelab di Australia, pernah menjadi ketua jurulatih Sabah dan merupakan pembantu jurulatih dengan Terengganu dari 2015 hingga 2016.

Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT akan memastikan para pemain memperbaiki dan mengatasi masalah yang dihadapi secepat mungkin bagi memastikan prestasi pasukan terus dapat dipertingkatkan.

"Menerusi perjumpaan yang dilakukan bersama pemain, jurulatih mendapati tiada masalah dalam pasukan. Para pemain mengakui memerlukan sedikit masa untuk mempraktikkan teknik dan corak yang diperkenalkan Mike Mullvey," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pemain dan jurulatih di sini, Ahad.

Wan Ahmad berkata, kesemua pemain Terengganu adalah berpengalaman dan mereka sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk menimba teknik terbaharu, namun mereka perlu diberikan ruang untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu permainan mengikut acuan jurulatih.

"Saya berharap selepas ini masalah ini dapat diatasi segera dan berakhir dalam masa terdekat untuk kita kembali bangkit memburu kemenangan dan para pemain juga diharap terus memberikan tumpuan sepenuhnya (terhadap mutu permainan)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengugurkan pemain yang dikesan tidak fokus dan tidak memberikan komitmen terbaik.

Terengganu kini menghuni tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul sembilan mata di belakang pasukan kelab Terengganu T-Team. - Bernama

Wan Ahmad Nizam Wan Hamid, PBSNT

Artikel Lain