suria

Kematian Paul Mony Kehilangan Besar Buat Sukan Malaysia

Paul Mony

KUALA LUMPUR: Kematian bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Paul Mony Samuel merupakan satu kehilangan besar buat bidang sukan Malaysia, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

"Ia satu kehilangan menyedihkan buat bidang sukan, khususnya bola sepak.

Paul telah mengabdikan kehidupannya untuk sukan.

"Mendiang semasa hayatnya merupakan contoh bagi seseorang yang mempunyai jiwa, komitmen dan keupayaan dan ia merupakan kehilangan besar buat arena bola sepak dan sukan di Malaysia," kata Tunku Imran kepada Bernama.

Paul, yang juga bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), meninggal dunia pada kira-kira 8.30 pagi Sabtu akibat penyakit Parkinson. Beliau berusia 71 tahun.

Paul, yang dilahirkan pada 8 Ogos di Kuala Ketil, Kedah merupakan tokoh  yang paling lama berkhidmat sebagai setiausaha agung FAM iaitu dari 1984 hingga 2000.

Beliau memegang jawatan sama dalam AFC dari 2007 hingga 2009 manakala dalam  AFF, beliau memegang jawatan itu dari 2010 hingga 2013.

Upacara keagamaan untuk mendiang akan diadakan pada 8 malam ini (Ahad) di kediamannya di No 4, Jalan SS3/94, Petaling Jaya manakala upacara pengebumian akan diadakan pada Isnin. 

Paul Mony, Bola Sepak

Artikel Lain