suria

Pesanan Tan Cheng Hoe Untuk Pemain Kedah

"YAKIN diri sendiri dan kuasai bola sepajang permainan," itu pesanan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe kepada barisan pemainnya yang akan menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada Sabtu malam.

Cheng Hoe turut mengingatkan pemain supaya tidak leka dan mengulangi kesilapan lalu jika mahu memenangi perlawanan pertama separuh akhir Piala FA berkenaan.

Menurutnya, walaupun JDT merupakan pasukan pilihan yang akan berada di final Piala FA, namun pemain Kedah juga mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan rekod yang pencapaian sebelum ini.

"Saya mengetahui kami bukanlah pasukan pilihan pada perlawanan separuh akhir Piala FA ini, tetapi saya yakin pemain mampu menandingi kehebatan JDT kalau mereka berhasrat untuk ke final.

"Pemain perlu yakin pada kemampuan mereka untuk menandingi pemain lawan yang lebih berpengalaman di peringkat antarabangsa dan tempatan kerana dibarisi tonggak skuad Harimau Malaysia.

"Inilah kali pertama pemain Kedah akan bertemu JDT. Kita perlu mengambil kesempatan bahawa lawan tidak mengetahui corak permainan Kedah berbanding pasukan lain," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, beliau tidak perlu memotivasikan pemainnya kerana kehebatan barisan pemain lawan dan rekod JDT sendiri sudah mampu membuat pemain Kedah beraksi melebihi kemampuan sebenar mereka.

"Pemain perlu memberi perhatian sepanjang permainan, jangan leka dan membiarkan lawan bebas melakukan gerakan.

"Sebagai contoh kepada pemain, sebuah pasukan yang mempunyai tiga penyerang terhebat dunia juga kecundang dalam Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini kerana lawan mereka berjuang dengan semangat ingin menang," jelas beliau.

Kedah, JDT, Piala FA

Artikel Lain