suria

Kedah Akhiri Rekod Tanpa Kalah JDT

Pemain Kedah, Mohd Farhan Roslan (kanan) melakukan 'volley' untuk menewaskan penjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Farizal Marlias (kiri) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam Sabtu. Foto Bernama

REKOD tanpa kalah Johor Darul Ta'zim dalam saingan Piala FA lebur apabila pasukan itu tewas 1-2 kepada Kedah dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman pada malam Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Kedah yang membariskan skuad mudanya berjaya mengawal rentak permainan dengan penuh bertenaga dalam misi memburu gol awal.

Anak didik Tan Cheng Hoe hampir mendapatkan gol seawal minit ketujuh menerusi Farhan Roslan, namun percubaan pemain licik itu disambar penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Usaha berterusan pemain tuan rumah akhir berhasil pada minit ke-23 apabila Farhan pantas menolak masuk tandukan lintang Bang Seung Hwan dari kiri padang.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT kembali mengatur serangan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan empat minit kemudian.

Juan Martin Lucero menjadi hero skuad Southern Tigers selepas merembat kencang bola hantaran Pererya Diaz yang bijak mengelirukan pertahanan Kedah.

Kedudukan 1-1 itu memberi peluang kepada kedua-dua pasukan untuk terus mengatur serangan dengan Kedah lebih mengawal permainan berbanding JDT.

Ketika babak pertama seakan menemui penghujungnya, Stadium Darul Aman yang sesak dengan lebih 30,000 penonton kembali gamat hasil jaringan Sandro Da Silva.

Gol tersebut dihasilkan selepas pemain import dari Brazil itu merembat kencang bola dari luar kotak penalti selepas menerima umpanan daripada rakan senegaranya, Carlos Eduardo.

Bersambung babak kedua, JDT yang mahukan bekalan selesa untuk perlawanan kedua mula mengatur serangan dan lebih mengawal permainan.

Namun kemampuan barisan muda Kedah juga tidak boleh dinafikan apabila mereka turut mengasak untuk mendapatkan jaringan tambahan.

Bagaimanapun dengan beberapa aksi 'panas' di kalangan pemain kedua-dua pasukan, Kedah berjaya mengekalkan kedudukan 2-1 hingga ke akhir permainan.

JDT akan menerima kunjungan Kedah pada 30 April ini bagi perlawanan kedua separuh akhir Piala FA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain