suria

Penyokong KL Tidak Terlibat Insiden Stadium MPS - Pafa

Pemain Perak, Nurridzuan Abu Hassan (kiri) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan pada perlawanan bola sepak Piala FA Kedua ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Jumaat malam. Foto:Bernama

IPOH: Provokasi ketika perlawanan antara Perak dan Kuala Lumpur dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada jumaat malam, bukannya dari penyokong tuan rumah.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Shahrul Zaman Yahya mendakwa tindakan itu dilakukan penyokong pasukan lain yang berdendam dengan penyokong Perak.

"Saya tidak menuduh mana-mana pihak dan ada teori menyatakan penyokong yang mencetuskan provokasi itu bukan penyokong Kuala Lumpur tetapi penyokong pasukan lain," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut kejadian tersebut, Shahrul Zaman yang juga pengurus pasukan Perak berkata terdapat penyokong pasukan lain membaling batu dan bom mercun ke arah penyokong Perak pada penghujung perlawanan. 

"Tamat perlawanan, penyokong serta pemain Perak dikepung dan ada penyokong dikejar dan dibaling dengan batu ketika sedang menuju ke kenderaan masing-masing.

"Ada segelintir penyokong menunggu di bulatan jalan keluar ke lebuh raya dan membaling batu ke arah bas Perak. Ketegangan dan provokasi ini menyebabkan ada penyokong Perak yang bertindak balas," katanya.

Beliau berkata insiden sedemikian juga berlaku di semua gelanggang perlawanan Liga Super dan Liga Perdana dari semasa ke semasa.

"Saya sudah sampai ke tahap memikirkan mungkin lebih baik kita minta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memansuhkan Liga Super dan Liga Perdana.

"Adakah berbaloi acara sukan yang diadakan bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan menyatupadukan rakyat akhirnya mencetuskan pergaduhan?.

"Fenomena ini bagaikan tiada kesudahannya kerana akhirnya semua mahu membalas dendam ke atas satu sama lain," katanya. 

Mengenai perlawanan itu, Shahrul Zaman berkata penantian Perak selama 11 tahun tercapai apabila layak ke separuh akhir Piala FA.

Pada perlawanan itu, Perak menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur untuk marake separuh akhir dengan agregat 2-0. -Bernama

Artikel Lain