suria

GP Bahrain: Cuaca Sejuk Boleh Rosakkan Tayar - Rosberg

PASUKAN Mercedes mendedahkan pemilihan tayar amat penting pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain yang sedang berlangsung di Litar Sakhir.

Menurut pelumbanya, Nico Rosberg, cuaca yang sejuk boleh memberi kesan buruk kepada tayar.

Pada sesi latihan bebas pertama lewat Jumaat malam, keadaan suhu rendah 24 darjah celcius di litar menyebabkan mereka terpaksa membuat pemilihan tayar yang sesuai.

"Keadaan suhu amat mengejutkan, ia amat sejuk.

"Sejak beberapa bulan lalu kami telah mencuba pelbagai jenis tayar ketika musim sejuk.

"Keadaan ini bakal memberi cabaran kepada kami kerana jika suhu semakin sejuk ia boleh merosakkan tayar dengan lebih teruk.

"Namun saya jangkakan lebih banyak kejutan akan berlaku menjelang perlumbaan akhir Ahad ini kerana dengan keadaan tayar ini, lebih banyak strategi yang boleh dilakukan," jelasnya.

Sesi latihan bebas pertama itu menyaksikan Rosberg menguasai mencatat masa terpantas 1' 32.294 bagi 24 pusingan manakala rakan sepasukannya Lewis Hamilton berada di tempat kedua (+00.505), diikuti pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen, Daniel Ricciardo (Red Bull) dan kelima Daniil Kvyat (Red Bull).

Walaupun Hamilton berjaya mencatat kejuaraan di Bahrain sejak dua lalu, dia mengakui Rosberg lebih pantas di Sakhir.

"Nico sentiasa menjadi yang terpantas di sini, cabaran sukar untuk menewaskannya.

"Malah perlumbaan di Bahrain ini sememangnya sukar secara keseluruhannya dan ia bukanlah litar yang 'sebati' dengan saya," jelas Hamilton.

Dalam pada itu, sesi kelayakan akan berlangsung pukul 11 malam Sabtu.

Artikel Berikut

Artikel Lain