suria

Hafizh Mula Garang Di Argentina

KUALA LUMPUR: Pelumba hasil daripada program Pembangunan Bakat Petronas, Hafizh Syahrin Abdullah bermula garang di Grand Prix Argentina apabila mencatat masa keenam terpantas dalam sesi latihan Moto2, pada Jumaat.

Pada sesi di Litar Termas De Rio Hondo, pelumba Petronas Raceline itu hanya ketinggalan 0.403 saat berbanding catatan penunggang Perancis, Johann Zarco yang melakukan catatan terpantas 1 minit 44.533 saat, kurang hampir sesaat daripada apa yang dilakukannya pada sesi latihan bebas pertama.

Pelumba Jepun, Takaaki Nakagami mencatatkan 1:44.723s diikuti Sam Lowes dari Great Britain dengan 1:44.768s.

Hafizh berkata keadaan litar sewaktu sesi latihan bebas kedua terlalu panas menyebabkan tayar kurang mencengkam berbanding sesi latihan pertama.

"Mujur motosikal cukup baik sebelum itu dan saya boleh melakukan pecutan.

Kami tidak akan mengubah pelarasan enjin tetapi sudah tentu harus menganalisis semua data dan melihat situasi semasa," kata Hafizh dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Pengurus pasukan Petronas Raceline Malaysia, Barry Leong berkata catatan sepusingan Hafizh semakin meningkat walaupun suhu di litar agak tinggi.

"Ia cukup menggembirakan untuk mengetahui dia semakin memahami jenteranya dan mampu menggunakan pelarasan yang ada untuk menjadi kelebihannya," kata Barry.

Artikel Berikut

Van Gaal Mengaku Akan Dipecat

Artikel Lain