suria

KHM Telah Selesaikan 94 Peratus Hutang

K. Logan Raj

MELAKA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyelesaikan kira-kira 94 peratus jumlah hutangnya berjumlah RM2.9 juta yang direkodkan sejak 2009 sehingga tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya K. Logan Raj.

Beliau berkata hutang berkenaan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, melalui beberapa strategi yang telah dirancang.

"Kita sedang berusaha keras dan pada masa sama, presiden KHM bijak mengatur strategi bagi membolehkan kita selesaikan semua hutang. Antara strategi dilakukan ialah mendapatkan tajaan jangka panjang, selain bekerjasama dengan syarikat korporat.

"Selain itu, kita juga telah berbincang dengan pemiutang untuk menstrukturcara pembayaran selain meminta diskaun daripada mereka, dan dengan cara itu dapat melangsaikan sejumlah besar hutang kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga KHM kali kelima pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Logan berkata KHM kini memberi fokus untuk memastikan pasukan negara layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Beliau berkata pihaknya menaruh keyakinan tinggi terhadap pasukan hoki kebangsaan, selepas skuad negara gagal melayakkan diri ke temasya sukan itu sejak 16 tahun lepas.

"Misi utama kita layak ke Sukan Olimpik 2020. Sekarang kita sedang berusaha keras memantapkan strategi permainan, dan memastikan pemain benar-benar cergas,"katanya. -Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain