suria

Devan Tak Tertekan, Lega 'Posisi' Selamat

Devan semasa sesi latihan bersama pasukan PQPTRW. - foto ihsan TRWFC

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Kelantan, K. Devan menegaskan sama sekali tidak tertekan dengan spekulasi yang mendakwa jawatannya akan diambil alih bekas pengendali pasukan tersebut, Bojan Hodak.

Sebaliknya, Devan memberitahu tekanan mengenai kedudukannya yang terancam menjadi suntikan semangat untuk menyediakan kesebelasan terbaik menjelang pertemuan dengan Sarawak dalam aksi Liga Super, malam Jumaat.

"Saya tak tertekan dan kini lebih fokus menjalankan tugas. Saya sudah lali dengan tekanan seperti ini, perkara sama pun pernah dilalui jurulatih lain.

"Tekanan ini beri motivasi dan semangat juang yang tinggi kepada saya untuk mempersiapkan pasukan pada perlawanan menentang Sarawak," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Malah, bekas pengendali pasukan Selangor itu mengakui beliau  lega selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mengesahkan kedudukannya masih selamat.

"Sudah tentu saya berasa lega tapi saya enggan terlalu memikirkan mengenai perkara ini. Saya hanya  mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap mandat yang diberikan Kafa kepada saya," katanya.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mempersoalkan prestasi semasa pasukan itu berikutan gagal menampilkan impak dalam tiga aksi awal musim ini.

Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut menegur pretasi hambar penyerang import Dramane Traore yang masih belum menemui penyudah berbisanya.

Namun di sebalik spekulasi yang timbul, Vida memberitahu sekarang bukan masa sesuai untuk menukar jurulatih skuad kijang itu.

Mengenai aksi menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan pada malam Jumaat, Devan berkata anak buahnya tidak boleh memandang remeh prestasi Sarawak yang tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Pemain  tidak boleh ambil mudah pasukan lawan walaupun mereka tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Mereka sudah tentu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak kalah lagi. Jadi perlawanan pasti akan jadi lebih sukar," kata Devan.

Pengendali berusia 54 tahun itu berkata beliau akan memilih kesebelasan utama pasukan yang akan diturunkan menentang pasukan Bumi Kenyalang itu selepas selesai sesi latihan pada Khamis.

"Saya masih ada beberapa pilihan dan kesebelasan utama pasukan hanya akan ditentukan selepas sesi latihan hari ini.

"Apa yang lebih penting kita akan menerapkan strategi menyerang untuk menyekat kemaraan lawan demi mengutip  tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Bagi menghidupkan peluang memburu trofi Liga Super musim ini, Devan berkata pasukan Kelantan perlu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah terutamanya ketika beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya harap pemain lebih fokus tentang tugasan berat ini dan meningkatkan prestasi untuk menghasilkan persembahan lebih baik daripada sebelumnya," kata Devan.

K.Devan, Kafa, PQPTRW, Bojan Hodak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain