suria

Peluang City Mara Ke Kelompok Lapan Pasukan Terakhir Cerah

Silva meraikan jaringannya pada minit ke-40.

MANCHESTER City mempamerkan persembahan terbaik pada musim ini apabila menghidupkan peluang untuk melangkah ke kelompok lapan pasukan terakhir Liga Juara-Juara buat pertama kalinya dengan menundukkan Dynamo Kiev 3-1.

City yang bertandang ke Stadium Olimpiyskiy yang terletak di Kiev, Ukraine mendahulu menerusi rembatan kencang Sergio Aguero dan David Silva pada babak pertama.

Namun pasukan tuan rumah bangkit dengan meletakkan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Vitaliy Buyalskiy pada minit ke-58.

Ketika perlawanan hampir tamat, Yaya Toure melengkapkan gol ketiga City sekali gus membantu pasukan menamatkan tiga siri kekalahan berturut-turut pasukan itu sebelum ini.

Pengurus City, Manuel Pellegrini sebelum ini dikritik kerana menurunkan barisan pemain muda ketika bertemu Chelsea pada aksi Piala FA.

Namun, pengurus dari Chile itu mengakui keputusan tersebut wajar bagi mengutamakan perlawanan yang lebih penting.

City bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas pihak pengurusan pasukan itu mengumumkan bekas pengendali Bayern Munich, Pep Guardiola akan mengemudi kelab tersebut pada musim panas ini.

Kemenangan tersebut meletakkan City dalam keadaan selesa menjelang pertembungan timbal balik di laman sendiri pada 15 Mac ini.

Ia juga memberi suntikan semangat kepada pemain City ketika bertemu Liverpool pada aksi final Piala Liga, Ahad ini.

Artikel Sebelum

PSV Ikat Atletico Tanpa Jaringan

Artikel Berikut

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain