suria

Hanya Liga Europa Jalan Mudah United Layak Ke CL - Van Gaal

LOUIS van Gaal mengakui hanya menjuarai Liga Europa sahaja jalan mudah untuk Manchester United layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (CL) musim depan.


Ini berikutan kekalahan 2-1 kepada Sunderland dalam aksi Liga Perdana pada Sabtu malam sekaligus menyaksikan United kini ketinggalan enam mata dengan Manchester City (47)  yang berada di tangga keempat liga.

“Ia semakin sukar. Selepas perlawanan ini, Liga Europa sahaja jalan terbaik, namun ia juga bukan mudah kerana banyak pasukan yang hebat,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Bermula musim lalu, juara Liga Europa diberi keistimewaan untuk beraksi dalam saingan kelayakan akhir atau peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

United bakal memulakan pusingan pertama Liga Europa kelompok 32 pasukan bertemu FC Midtylland Khamis ini.

Mereka juga bakal bertemu Shrewsbury dalam aksi Piala FA Inggeris dan tidak akan terlibat dengan perlawanan liga perdana sehingga 28 Februari ini dengan bertemu Arsenal.

Bagaimana pun Van Gaal memberitahu bahawa dia tidak akan berputus asa untuk berebut kembali kedudukan keempat liga perdana.

“Kami telah memberikan lima mata di tempat lawan (Chelsea dan Sunderland) , dan ia sangat keterlaluan.

“Saya juga ada memberitahu situasi ini kepada pemain-pemain kerana kamu tidak boleh terus ‘tutup mata’. Ia tidak mustahil, tetapi saya rasakan laluan Liga Europa lebih mudah.

“Bukan bermaksud terlalu mudah (Liga Europa), namun di situ tahap persaingan lebih menarik, jadi kamu perlu berjuang untuk menang,” tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain