suria

Bacaan Yasin, Solat Hajat Iringi Sepak Mula PQPTRW Musim Ini

PETALING JAYA: Penaja utama skuad bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengadakan majlis bacaan yasin dan solat hajat bagi mendoakan kejayaan pasukan tersebut dalam menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Majlis tersebut diadakan di kediaman Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida di Meru Heights, Ipoh menjelang sepak mula aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Ipoh, malam Sabtu.

Majlis yang disertai kira-kira 60 pelajar tahfiz di Ipoh itu turut dihadiri pemain dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Semua pemain pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) kelihatan segak memakai jubah merah hitam rekaan Vida.

Menurut usahawan wanita kelahiran Machang itu, majlis tersebut merupakan permulaan kepada pemain pasukan PQPTRW untuk diangkat sebagai contoh kepada generasi muda kerana bukan sahaja menitikberatkan aktiviti sukan tetapi kerohanian.

Vida dan pemain Kelantan menunjukkan tanda V ditepi bibir mereka iaitu trademark Qu Puteh.

"Selain memohon keberkatan dan kejayaan Kelantan, majlis ini boleh dianggap sebagai permulaan kepada pasukan bola sepak alaf baharu.

"Pasukan PQPTRW bukan sekadar bersukan tetapi turut menekankan elemen keagamaan. Saya mahu menggabungkan dua elemen tersebut bermula musim ini supaya pemain jadi contoh kepada anak muda di luar sana," katanya kepada mStar Online.

Menjelang pertemuan antara Kelantan menentang Perak pada Jumaat malam, Vida mengharapkan agar pemain PQPTRW menggandakan usaha untuk menggenggam tiga mata penuh di gelanggang lawan.

"Saya mahukan kemenangan. Tiada lagi alasan untuk tidak catat kemenangan selepas dua aksi hambar dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

"Saya sudah cuba berikan yang terbaik untuk pasukan jadi sekarang tiba masanya bagi pemain untuk mempamerkan prestasi sebenar mereka," katanya.

Hasmiza Othman, PQPTRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana 2016

Artikel Lain