suria

Hasrat PQPTRW Miliki Saluran TV Bakal Jadi Kenyataan

PETALING JAYA: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menyambut baik cadangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk memiliki saluran televisyen sendiri yang akan dilancarkan sebelum aksi Liga Malaysia bermula 13 Februari ini.

Usahawan kosmetik terkemuka negara itu menyifatkan pengumuman tersebut hadir tepat pada waktunya di saat pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) melalui proses penjenamaan semula musim ini.

"Saya alu-alukan cadangan tersebut. Ia langkah tepat untuk mengukuhkan penjenamaan semula skuad ini.

"Ia juga meletakkan pasukan ini setanding dengan beberapa kelab terkemuka dunia yang turut memiliki saluran televisyen sendiri," katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengenai jenis saluran televisyen tersebut, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida enggan mengulas lebih lanjut dan mahu ia diumumkan sendiri oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

"Kita nak bagi kejutan sedikit, biarlah Tan Sri (Annuar Musa) yang umumkan secara terperinci mengenai perkara itu. Kita tunggu pengumuman itu dalam masa terdekat," katanya.

Pada Sabtu lalu, Annuar mengumumkan PQPTRW akan menjadi satu-satunya pasukan bola sepak dalam negara memiliki saluran televisyen sendiri dalam tempoh terdekat.

“InsyaAllah sebelum Liga Malaysia bermula 13 Februari ini, pasukan Kelantan akan muncul sebagai pasukan pertama yang akan melancarkan saluran televisyen sendiri.

“Tunggu pengumuman rasmi pada minggu hadapan,” katanya menerusi Facebook beliau.

Namun, Annuar tidak menjelaskan secara terperinci sama ada saluran televisyen itu jenis Internet web atau teresterial.

Langkah Kafa memperkenalkan saluran televisyen itu ternyata mengangkat martabat bola sepak negara dengan mengikut jejak langkah beberapa kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool yang turut memiliki saluran televisyen masing-masing.

Ia merupakan kaedah yang popular untuk menyampaikan perkembangan terkini pasukan itu kepada penyokong setia mereka.

Dr Hasmiza Othman, Kafa, PQPTRW

Artikel Berikut

Artikel Lain