suria

Tiago Tenang Seketika, Tewaskan Selangor 1-0

GEORGE TOWN: Pasukan Pulau Pinang menarik nafas lega seketika selepas menang tipis 1-0 ke atas Selangor pada aksi persahabatan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Jumaat malam.


Ternyata kemenangan ke atas pasukan juara Piala Malaysia musim lalu itu memberi gambaran baharu kepada pengendali Harimau Kumbang, Jacksen Ferreira Tiago yang masih buntu dalam melengkapkan barisan penyerangnya.

Bekas pemain Harimau Muda, Jaffri Firdaus Chew berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-83.

“Ini merupakan perlawanan persahabatan kelima dan kemenangan kedua skuad Pulau Pinang selepas mencatat dua kalah dan satu seri sebelum ini.

“Saya nampak tahap motivasi semua pemain semakin baik. Pada babak pertama mereka lembab dalam membuat serangan walaupun terdapat beberapa peluang untuk gol.

“Namun pada separuh masa kedua, corak permainan lebih laju selepas memasukkan pemain muda sehingga berjaya mendapatkan gol.

“Apa yang jelas, beberapa bahagian perlu diperbaiki terutamanya di bahagian hadapan. Mereka perlu berlatih untuk mengisi ruang-ruang mencari gol,” jelasnya kepada mStar Online selepas perlawanan.

Jelas Tiago, walaupun hanya seorang sahaja pemain import yang beraksi malam ini, corak permainan skuad tetap menarik.

“Matias Cordoba mempunyai semangat luar biasa. Dia menguasai setiap posisi di padang dalam membantu melancarkan serangan.

“Walaupun masih lagi baharu, Matias mampu menjadi ‘jantung’ ketika perlawanan.

“Mengenai seorang lagi penyerang baharu dari Brazil, Jose Tadeu, dia kemungkinan besar akan digugurkan daripada skuad kerana tidak mencapai kepuasan pengurusan dan juga penyokong-penyong pasukan ini.

“Buat masa sekarang kami masih mencari penyerang lain yang boleh menggantikan tempatnya. Tidak kiranya dari mana, apa yang penting pemain itu berkualiti yang mampu membantu pasukan mempamerkan aksi yang lebih baik,” jelasnya.

Sementara itu, pengurus Selangor Zainal Abidin Hassan mengakui pemain-pemainnya tidak menunjukkan aksi sebenar pada perlawanan ini.

“Pertama kali kami menyusun sesuatu di tempat lawan. Perlawanan ini juga dianggap sebagai latihan kecergasan mereka agar lebih seimbang.

“Pemain-pemain gagal menjaringkan sebarang gol walaupun terdapat beberapa peluang keemasan.

“Namun saya sudah nampak tahap keserasian pemain import dan tempatan semakin meningkat di antara mereka.

“Selepas ini kami akan ke Thailand, bermain dengan dua kelab di sana.

“Dua perlawanan antarabangsa ini amat penting dan saya yakin selepas kembalinya dari sana, kami sudah bersedia untuk bersaing dalam Liga Super,” jelasnya.

Tambah Zainal Abidin, semua pemain perlu bersedia terutamanya tahap kecergasan kerana mereka bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain