suria

Kim Swee Intai Aksi Persahabatan Mac Ini

Ong Kim Swee.

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee merancang mengadakan perlawanan persahabatan, sebelum atau selepas perlawanan terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di tempat lawan, 24 Mac ini.

Tanpa mendedahkan nama pasukan bakal diuji skuad kebangsaan, Kim Swee menegaskan ia penting bagi mengukur prestasi pemain yang bakal dipanggil ke sesi latihan pusat, pertengahan Mac ini.

"Bermula 29 Mac ini adalah perlawanan persahabatan kelas A di bawah kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jadi kita boleh gunakan waktu itu untuk bermain dengan mana-mana pasukan (dalam menaikkan ranking kita)," katanya.

Kim Swee ditemui pemberita pada hari pertama Simposium Kejurulatihan anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tempoh rehat Liga Malaysia dari 14 Mac hingga 3 April ini, sudah mencukupi untuk beliau mempersiapkan barisan pemain yang mantap untuk berdepan Arab Saudi.

"Ketika itu, saya jangkakan pemain yang dipanggil berada pada prestasi terbaik, namun yang penting apabila mereka dipanggil, tiada masalah kecederaan.

"Walaupun kita tahu perlawanan menentang Arab Saudi sekadar perlawanan pelengkap jadual, kita harus bersiap sedia kerana pasukan lawan sebuah pasukan yang kuat," kata Kim Swee.

Beliau pada masa sama, menegaskan khidmat pemain senior yang berpengalaman beraksi dalam perlawanan antarabangsa tetap ditagih terutama untuk mengimbangi kekuatan Arab Saudi yang beraksi di laman sendiri.

Peluang Malaysia ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia sudah tertutup selepas menduduki tangga keempat daripada lima pasukan dalam kumpulan A pusingan kelayakan, dengan hanya mengutip empat mata.

Skuad Harimau Malaya, bagaimanapun masih berpeluang mengintai peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi pusingan kelayakan yang bakal diadakan, Jun ini yang menyediakan 12 kuota. - BERNAMA

Ong Kim Swee, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Vidic Umum Persaraan

Artikel Lain