suria

Tan Cheng Hoe Mahu Pemain Baiki Kelemahan

Skuad Kedah menjalani latihan di Padang Peremba, Alor Setar.

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yakin mampu meningkatkan lagi prestasi dan keserasian anak didiknya walaupun mereka berjaya menumpaskan Kuala Lumpur dalam perlawanan persahabatan pra-musim di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok pada Ahad.

Walaupun berpuas hati dengan prestasi barisan pemain tempatan yang berjaya meraih dua kemenangan termasuk mengatasi Felcra FC 2-1, namun beliau akui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, keputusan pada dua perlawanan pra musim lalu tidak boleh menjadi pengukur kemampuan barisan pemain tempatan kerana saingan sebenar masih belum bermula.

“Apa yang saya harapkan daripada barisan pemain tempatan ialah mereka beraksi dengan penuh kesungguhan, komitmen yang tinggi serta memahami corak permainan yang saya mahu mereka amalkan dan inilah yang dapat saya lihat pada dua perlawanan lalu.

“Khususnya lapan muka baru yang turut serta bersama kita musim ini mereka nampaknya sudah serasi dengan permainan yang diamalkan oleh pasukan Kedah sejak dua musim lalu. Kini mereka perlu terus memberi tumpuan dan meningkatkan lagi prestasi... jangan puas hati dengan apa yang telah diperolehi  dalam dua perlawanan  ini sahaja.

"Kita akan meneruskan latihan sebelum kesemua pemain termasuk import bertolak ke Thailand pada 21 Januari untuk berdepan tiga perlawanan persahabatan bertemu Phuket pada 23 Januari, Krabi (25 Januari) dan Trang (dua hari kemudian),” katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, pemain import tidak diturunkan dalam perlawanan ujian lalu kecuali Bang Seung Hwan kerana Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva dan Carlos Kahe belum bersedia untuk beraksi dan memerlukan sekurang-kurangnya 10 hari latihan sebelum dapat beraksi semula.

"Syafiq Ahmad dan Fakri Saarani telah membuktikan bisa mereka dengan melakukan penyudahan yang baik ketika berdepan peluang terhidang. Inilah bukti pengalaman mereka beraksi pada perlawanan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan dan saingan liga tempatan sejak beberapa tahun lalu.

“Pemain-pemain yang baru diserapkan dalam skuad Kedah juga turut mempamerkan prestasi yang meyakinkan dengan penguasaan permainan dan bijak mengawal mental  bagi memastikan permainan lebih lancar ketika berdepan Kuala Lumpur.

“Saya yakin ketika bertemu Perlis pada 1 Februari nanti barisan pemain utama termasuk import dapat mencapai tahap kecergasan dan mental yang terbaik sebagai persediaan  mengharungi Liga Super yang bakal bermula pada 13 Februari depan,” kata Tan.

Katanya, perlawanan menentang Perlis adalah peluang terbaik untuknya mengenal pasti kesebelasan utama yang akan memulakan perlawanan sulung Liga Super musim ini.


Tan Cheng Hoe, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Piala FA

Artikel Lain