suria

Ong Kim Swee Dilantik Ketua Jurulatih Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya selama dua tahun berkuatkuasa dalam masa terdekat.

Pelantikan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad di Wisma FAM di sini pada petang Isnin.

Menurut Abdul Mokhtar, pemilihan tersebut dikendalikan 10 panel khas termasuk Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), pengamal media dan persatuan jurulatih bola sepak Malaysia (PJBM).

"Saingan amat sengit... setiap calon beri persembahan lebih kurang sama.

"Ada plus and minus (tambah dab tolak) tapi kita dah nilai ketiga- tiga calon dan sebulat suara melantik Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi musim 2016-2017," katanya.

Abdul Mokhtar berkata pemilihan Kim Swee dinilai berdasarkan pengalaman dan prestasinya memimpin skuad Harimau Malaya selama ini.

"Kami mahukan seorang jurulatih yang berupaya membawa kemenangan kepada pasukan negara. Jadi dia memenuhi kriteria yang dikehendaki," katanya.

Namun, beliau berkata Kim Swee perlu melengkapkan beberapa kriteria yang ditetapkan FAM yang akan menjadi pengukur prestasinya dalam tempoh dua tahun ini.

Antara kriteria tersebut adalah membantu skuad bawah 23 tahun, meningkat ranking Malaysia pada kedudukan 140 yang kini berada di tempat ke-171 dunia, menjuarai Piala AFF Suzuki 2016 dan melepasi pusingan play off Piala Asia 2019.

"Itu antara kriteria yang perlu dipenuhi beliau untuk tempoh dua tahun ini," katanya.

Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sebelum ini memangku jawatan tersebut bagi menggantikan Dollah Salleh.

Dollah meletak jawatan sebagai jurulatih berikutan kekalahan memalukan 10-0 skuad negara kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, UAE, 3 September lepas.

Harimau Malaya, UAE

Artikel Sebelum

Artikel Lain