suria

Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2016 Berjalan Seperti Dirancang

GENTING HIGHLANDS: Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam dari 5-10 April ini berjalan seperti dirancang walaupun dikatakan bakal berdepan masalah kewangan susulan penarikan diri Maybank selaku satu daripada penaja kejohanan tersebut.

Ketika memberikan jaminan itu, Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid menegaskan mereka sedang mengadakan rundingan awal dengan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memberikan tajaan kepada BAM untuk meneruskan kejohanan tersebut namun enggan mendedahkan nama syarikat berkenaan.

"Perbincangan dengan dua syarikat itu menampakkan hasil positif dan kami akan membuat pengumumam mengenai perkara tersebut bersama penaja berpotensi yang lain secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting di sini, baru-baru ini.

Mohamed Al-Amin bagaimanapun membayangkan Maybank akan terus menjadi penaja kejohanan di Shah Alam itu sekiranya mereka gagal memuktamadkan perjanjian dengan dua syarikat berkenaan sebelum bermulanya kejohanan tersebut yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$550,000 (RM2.433 juta).

"Maybank tahu mereka masih mempunyai kontrak dengan kami sehingga April 2017...Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, sekiranya kami tidak mendapat persetujuan awal dengan penaja baharu, mungkin Maybank akan terus menaja kejohanan ini," jelas Mohamed Al-Amin.

Pada 2011, BAM dan Maybank menandatangani perjanjian penajaan berjumlah RM47 juta sehingga 2017 dan menerusi perjanjian tersebut, syarikat perbankan terkemuka itu dilaporkan akan menyalurkan RM6 juta bagi tahun pertama dan RM7 setiap tahun bagi tahun seterusnya.

Laporan terbaru media bagaimanapun mendakwa Maybank dikatakan sudah menghantar notis tiga bulan penamatan kontrak berkenaan kepada BAM dan ia dijangka berkuat kuasa bulan depan.

Keputusan penarikan diri berkenaan bagaimanapun tidak dinyatakan oleh syarikat perbankan berkenaan namun ia dipercayai berpunca daripada konflik penajaan mengenai syarikat insurans.

BAM dikatakan terlibat secara langsung dengan penaja utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Metlife yang merupakan syarikat insurans yang berpusat di Amerika Syarikat manakala Maybank mempunyai syarikat insurans mereka sendiri. - BERNAMA


Terbuka Malaysia 2016

Artikel Sebelum

PBSNT Alu-Alukan Penajaan

Artikel Berikut

Artikel Lain