suria

Tajaan: Rita Sosilawati Akui Dihubungi Dua Pasukan Liga Super

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari mendedahkan terdapat dua pasukan bola sepak daripada Liga Super telah menghubunginya bagi mendapatkan penajaan untuk musim ini.

Erni Dekritawati atau Rita Sosilawati berkata, beliau dihubungi pihak berkenaan selepas pendedahan mStar Online pada Khamis lalu mengenai hasratnya untuk menaja sebuah pasukan bola sepak sebagai usaha memberi sokongan terhadap sukan nombor satu itu.

Bagaimanapun katanya, belum ada rundingan dilakukan bersama dua pasukan yang tidak didedahkan identitinya.

"Setakat ini, belum ada apa-apa rundingan lebih serius dibuat tetapi tidak menolak mengatakan ada dua pasukan yang sudah menghubungi saya.

"Bagaimanapun, di pihak saya masih lagi meneliti dan mendapatkan respons daripada mereka yang pakar kerana ini bukan sekadar tajaan sahaja tetapi melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak khususnya pasukan itu. Saya akui penajaan ini merupakan sesuatu yang baru buat saya," katanya kepada mStar Online.

Khamis lalu, mStar Online melaporkan anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berhasrat untuk bekerjasama dengan salah satu daripada empat pasukan sama ada Selangor, Kedah, Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ditanya mengenai dua pasukan yang menghubungi beliau, Rita berkata, perkara tersebut hanya akan dimaklumkan sekiranya terdapat perkembangan lanjut bersama pasukan tersebut.

Beliau bagaimanapun berharap kerjasama itu nanti tidak hanya dilaksanakan dalam jangka pendek tetapi akan berterusan sekiranya perjanjian penajaan dimeterai.

Tambahnya, tidak dinafikan tajaan tersebut mampu membantu mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

"Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada cadangan dan sokongan peminat-peminat bola sepak yang menyambut baik hasrat saya untuk menjalinkan kerjasama dalam arena sukan nombor satu di negara ini," ujar Rita.

Beliau sebelum ini mengakui terdapat prospek yang baik dalam arena bola sepak untuk mengembangkan perniagaannya terutama memperkukuhkan jenama NV.

Pada masa sama, Rita yang turut mengikuti perkembangan bola sepak tempatan menyuarakan rancangannya dalam memainkan peranan terhadap pembangunan dan kecemerlangan bola sepak di negara ini.

Nouvelles Visages, Liga Super

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain