suria

Kepong BC Akhiri Cabaran Di Tangga Ketiga

Pemain perseorangan wanita Kepong BC Deng Xuan beraksi ketika menentang pemain Ampang Jaya BC Desiree Siow Hao Shan pada Kejohanan Badminton Cabaran Juara- Juara Resort World Genting 2016 di Arena of Stars pada Ahad. - fotoBERNAMA

GENTING HIGHLANDS: Juara bertahan, Kelab Badminton Kepong (Kepong BC) menamatkan kempen Cabaran Juara-juara Resorts World Genting di tangga ketiga selepas menjinakkan Ampang Jaya BC 9-2 di sini Ahad.

Kemenangan itu membolehkan kelab itu membawa pulang RM68,000 manakala Ampang Jaya BC pula memperoleh RM48,000.

Pemain Hong Kong, Wei Nan terpaksa berhempas pulas ketika menentang Lee Cheuk Yiu dari Ampang Jaya BC sebelum menang 3-2 (6-11, 11-6, 7-11, 11-6, 11-9) dalam acara perseorangan lelaki.

Deng Xuan dari China melebarkan kelebihan Kepong BC kepada 6-2 selepas mengalahkan Desiree Siow Hao Shan 3-0 (11-8, 11-6, 11-10) dalam perseorangan wanita sebelum beregu campuran, Ong Jian Guo/Mei Qi Li menundukkan Kuan Kam Chung/Anna Cheong Ching Yik 3-0 (11-8, 11-10, 11-10) bagi mengesahkan kemenangan kelab itu.

Pengurus pasukan Kepong BC, Wong Kok Wai memuji persembahan anak buahnya tetapi mengakui kecewa selepas tewas 10-11 kepada Puchong United BC di separuh akhir Sabtu.

"Sememangnya saya kecewa dengan kekalahan semalam tapi itu adalah realiti yang harus diterima. Secara keseluruhan, saya puas hati dengan persembahan pemain di kejohanan ini serta Purple League," kata Wong.

Beliau juga berkata pihaknya sedang mengenal pasti pemain untuk diambil mewakili kelab itu musim depan tetapi mengakui ia bergantung kepada bajet mereka.

Wong mengakui kelab yang bertanding perlu menyediakan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan pemain import terkemuka mewakili pasukan masing-masing. - BERNAMA

Kepong BC

Artikel Lain